Terbeban dengan kos perkahwinan: Apa bajet anda?

Dalam keadaan ekonomi negara yang sedang 'bergelora' ketika ini, ia sudah pasti memberi impak terhadap kos perbelanjaan perkahwinan. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

DALAM pada ekonomi negara sedang dalam keadaan ‘bergelora’ pada ketika, terutama merujuk kepada nilai Ringgit Malaysia yang jatuh meredum teruk berbanding Dolar AS, selain harga barang keperluan harian yang melambung naik, pasti sesetengah individu rungsing memikirkan bajet untuk melansungkan perkahwinan.

Sementelah trend perkahwinan pada masa ini dalam kalangan masyarakat setempat dilihat mahukan acara yang gilang-gemilang dan gah.

- Advertisement -

Walaupun pada dasarnya ajaran Rasulullah SAW adalah mempermudahkan urusan perkahwinan tanpa melibatkan perbelanjaan yang besar, namun intipati ajaran Baginda ini tidak diikuti dengan sepenuhnya oleh masyarakat pada masa kini.

Perubahan sosial dari aspek persiapan dan sambutan perkahwinan telah menyumbang kepada perbelanjaan yang tinggi. 

Semua ini boleh memberi kesan kepada bakal pengantin dari segi ekonomi dan mental. Sudah semestinya banyak kos yang perlu dipertimbangkan. 

Perubahan zaman telah memberi impak terhadap espektasi bakal pengantin mahupun keluarga terhadap perkahwinan kesan daripada pengaruh daripada media sosial. 

Justeru, ketahui perbelanjaan yang wajib dan perbelanjaan pilihan dalam perkahwinan supaya dapat memudahkan bakal pengantin melakukan perancangan perkahwinan.

Elemen wajib perbelanjaan perkahwinan

Elemen perbelanjaan perkahwinan yang wajib ialah:

1) Mas Kahwin atau mahar

Mas kahwin atau mahar menurut Undang-undang Keluaraga Islam ialah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah hukum syarak oleh suami kepada isteri pada masa akad nikah, sama ada berupa wang tunai atau dibayar secara hutang atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang dapat dinilai dengan wang menurut hukum syarak.

Nilai mas kahwin bagi Muslim di Malaysia telah ditentukan mengikut Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing dan ada juga negeri yang tidak menetapkan sebarang kadar. 

Justeru, rata-rata kadar mas kahwin di Malaysia tidak begitu tinggi dan memudahkan bakal pengantin. 

Mas kahwin ini memberikan gambaran tentang usaha dan pengorbanan seorang lelaki bagi menjadikan seorang wanita itu halal baginya untuk bersama.

Di Barat, kadar nilai mas kahwin mereka seperti sebuah kereta dan juga wang tunai secara ansuran yang mana lebih rumit dari di Malaysia. 

Semua ini bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini seperti memperlakukan isteri dengan sesuka hati atau menceraikannya dengan mudah.

Adapun dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW setelah dilantik menjadi Rasul telah memaparkan beberapa bentuk pemberian mas kahwin oleh baginda kepada isteri-isteri baginda. 

Secara umumnya baginda diriwayatkan tidak pernah membayar mas kahwin kepada isterinya melebihi dari 500 dirham. 

Abu Salamah bin ‘Abd al-Raḥman telah meriwayatkan bahawa dia bertanya kepada Saidatina A’ishah tentang berapakah mas kahwin Rasulullah. 

Kemudian Aishah menjawab: “Mas kahwin Rasulullah untuk isteri-isteri baginda adalah sebanyak 12 uqiyyah dan satu nash. 

Aishah bertanya: “Adakah kamu tahu, berapakah yang dikatakan satu nashsh? Lalu berkata (Abu Salamah) aku berkata: “tidak”. 

A’ishah berkata: “Satu per dua uqiyyah. Jumlahnya adalah lima ratus dirham dan itulah mas kahwin Rasulullah untuk isteri-isteri baginda. Menurut al-Nawawi, 1 uqiyyah Hijaz menyamai 40 dirham. 14 Ini bermakna 12 uqiyyah adalah berjumlah 480 dirham. Apabila ditambah dengan satu nashsh iaitu satu per dua uqiyyah yang menyamai 20 dirham, jumlah kesemuanya adalah 500 dirham.”

Disini jelaslah bahawa mas kahwin merupakan tuntutan dalam syariat Islam kepada lelaki terhadap bakal isteri dan wajib untuk dilaksanakan.

2) Kenduri kahwin

Majlis kenduri kahwin sangat tidak asing dan sentiasa diterapkan untuk menyebarkan khabar perkahwinan kepada jiran dan kenalan serta menyambut perkahwinan tersebut. 

Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di Malaysia untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki. 

Ssecara am, hukumnya adalah harus dalam Islam selagi tidak berlaku pembaziran. Undangan kenduri biasanya termasuklah ahli keluarga pasangan, saudara-mara, jiran tetangga dan kawan-kawan.

Mengadakan walimah, hukumnya sunat muakkad. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:

أ َ ْ و ِ ل ْ م َ و ل َ ْ و ِ ب َش ا ة

Maksudnya: “Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing. – Riwayat Muslim (1427)

Secara zahirnya, hadis di atas menuntut melaksanakan walimah atau majlis perkahwinan selepas perkahwinan dilangsungkan.

Norma dalam kenduri kahwin ialah menyewa khemah dan kerusi meja dan tidak dinafikan bahawa kos untuk perbelanjaan tersebut akan meningkat mengikut bilangan tetamu meningkat. 

Terdapat juga tawaran bagi pakej perkhidmatan dewan, kerusi, meja dan termasuklah penawaran pakej dekorasi pelamin oleh perunding-perunding perkahwinan.

Tidak lupa juga hidangan bufet yang pelbagai turut menjadi kebiasaan dalam majlis kenduri kahwin.

Berbeza pada zaman dahulu, jiran tetangga saling bantu-membantu dalam rewang menyediakan hidangan kenduri kahwin. 

Maka perkara ini akan menjimatkan kos bagi perkhidmatan memasak dan sebagainya. Kini, budaya tersebut sukar untuk dilihat seiring dengan peredaran zaman. Kenduri juga kebiasannya dilansungkan di rumah pasangan sahaja.

Terdapat kisah ketika nabi melakukan majlis makan setelah perkahwinan dengan sederhana sahaja sepertisSelain sajian berasaskan daging, roti, kurma, tepung, keju dan minyak sapi, Rasulullah SAW juga pernah diriwayatkan menyajikan sajian berasaskan barli. 

Safiyyah binti Shaybah pernah berkata:

أَْولََمالنب ُّي َصلَّىاللهُعليهوسلََّمعلَى َبْع ِض ِن َساِئِهبُمَّدْيِن ِمن َشِعير

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW pernah mengadakan walimah untuk sebahagian isteri-isteri baginda dengan dua cupak barli.”

Maka, jika meneliti kisah majlis walimah Rasulullah SAW ini, menu-menu yang disediakan adalah bersesuaian dengan adat pemakanan masyarakat Arab ketika itu, bahkan merupakan makanan harian mereka. 

Ia sudah tentu memberi manfaat kepada para tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

Justeru, jelaslah bahawa tidak perlulah sehingga bersusah payah dalam menyediakan makanan kenduri kahwin. Cukuplah sekadar menyediakan hidangan yang sedap dan cukup untuk tetamu.

Nabi menggalakkan majlis perkahwinan dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri tanpa perlu membazir dan bermewah. 

Inilah hikmah dari arahan Nabi Muhammad SAW kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf supaya diadakan walimah sekalipun dengan seekor kambing.

Hakikat sebenar kenduri hanya untuk menyambut perkahwinan dan menyebarkan status perkahwinan tersebut. 

Oleh itu, tidak semestinya perlu mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besar sepertimana yang menjadi trend sekarang. Seharusnya, setiap pasangan berunding dan merancang majlis kenduri dengan bijak.

Adapun walimah itu sebenarnya disyariatkan kepada pengantin lelaki. Oleh itu, janganlah sehingga membebankan pihak keluarga lelaki demi mengadakan majlis perkahwinan yang gah. 

Begitu juga dinasihatkan kepada ibubapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasa mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.

Elemen perbelanjaan perkahwinan trend semasa

Selain itu, antara elemen perbelanjaan perkahwinan menurut adat dan trend semasa ialah:

1) Hantaran

Tidak dinafikan bahawa Malaysia salah satu negara yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama dan adat. Antaranya ialah masyarakat Melayu. 

Salah satu adat Melayu dalam urusan perkahwinan ialah pemberian hantaran dalam bentuk wang dan barang.

Hantaran merupakan satu bentuk pemberian hadiah kepada wanita berbentuk wang atau lain-lain yang telah ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan.

Isu ini berbangkit apabila terdapat sesetengah ibu bapa atau bakal pengantin perempuan yang meletakkan hantaran yang sangat tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit sehingga menyukarkan pihak lelaki untuk menyediakannya.

Hal ini kerana ada sesetengah kes beranggapan bahawa duit hantaran sebagai ‘pampasan’ kepada kos-kos yang dilaburkan oleh ibu bapa pengantin perempuan yang telah membesarkan anak mereka. 

Implikasi daripada tindakan ini ialah akan menyebabkan penangguhan bagi melansungkan perkahwinan. Pada kebiasaannya, wang hantaran ditentukan berdasarkan kualifikasi wanita itu.

Wang hantaran ini telah dianggap sebagai satu bayaran wajib oleh sebahagian masyarakat, disebabkan amalan pemberiannya telah sebati dalam amalan orang Melayu. 

Namun begitu, dari perspektif Islam, wang hantaran bukan satu perkara wajib kerana ia hanya adat sahaja. 

Mak, ia sebenarnya bergantung kepada pihak keluarga perempuan tersebut. Justeru, digalakkan pihak lelaki untuk berunding dengan pihak keluarga perempuan dengan baik dan mengambil berat tentang kelangsungan hidup selepas pernikahan. 

Hal ini kerana, tidak dapat dinafikan bahawa perbelanjaan dan komitmen selepas kahwin akan bertambah.

Adapun adat pertukaran barang hantaran dalam pertunangan turut boleh menimbulkan kenaikan perbelanjaan sebelum majlis akad nikah kerana terdapat juga kos untuk menghias barang hantaran walaupun masih dalam tempoh pra perkahwinan.

Tidak sewajarnya untuk anak-anak dan ibu bapa mementingkan kemegahan dalam melaksanakan majlis pertunangan atau perkahwinan demi menjaga hubungan silaturahim yang baru dijalinkan antara anak-anak dan ibu bapa dan juga hutang dalam perbelanjaan. 

Seharusnya, kedua-dua keluarga [pengantin lelaki dan perempuan haruslah saling memudahkan urusan anak-anak demi menghalalkan hubungan mereka.

2) Perbelanjaan tambahan

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pengantin menginginkan kenangan majlis raja sehari dapat disimpan untuk dikenang pada masa yang akan datang. 

Tempahan jurugambar pada masa ini kian meningkat rentetan kebanyakan pengantin mengidamkan hasil yang cantik dan berkualiti.

Begitu juga dengan kad kahwin. Ia menjadi trend semasa berikutan reka bentuk dan corak kad yang pelbagai yang menjadi daya tarikan individu untuk mendapatkannya. Cuma sekarang ini, trend kad kahwin lebih kepada mesej melalui telefon pintar yang mungkin mengurangkan sedikir kos dari segi penyediaan jemputan ke majlis perkahwinan.

Namun begitu, setiap pasangan hendaklah merancang bajet perkahwinan dengan bijak dan memahami tahap kewangan masing-masing. 

Jika mahukan perkhidmatan jurugambar atau tempahan kad, carilah ejen perkahwinan yang menawarkan pakej yang murah dan lakukan perbandingan harga tidak menjadi masalah jika kita tidak mengikut trend asalkan tidak membebankan pasangan setelah perkahwinan.

Selain itu, alternatif lain selain membuat tempahan kad ialah mencipta ecard sendiri menggunakan aplikasi seperti Canva dan mewar-warkan notis majlis perkahwinan menerusi aplikasi WhatsApp.

Hal ini dapat menjimatkan perbelanjaan perkahwinan dan semestinya terdapat banyak idea dan reka bentuk yang menarik yang boleh menjadi pilihan untuk menghasilkan kad tersebut.

Anjuran untuk bekerjasama Rasulullah SAW menganjurkan kerjasama dalam mengadakan perkahwinan seperti menyediakan hidangan untuk walimah baginda. 

Ia berlaku ketika perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Safiyyah bint Ḥuyayy sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidina Anas.

Anjuran konsep tolong menolong dalam urusan mengadakan walimah.Walaupun berkedudukan sebagai pemimpin tertinggi pada ketika itu, baginda tidak segan untuk menyatakan kepada para sahabat agar membawa makanan sempena walimah baginda dengan Saidatina Safiyyah bint Ḥuyayy.

Sebagai kesimpulan, perbelanjaan yang wajib untuk sesebuah perkahwinan hanyalah mahar dan kenduri sahaja. 

Namun kenduri juga perlulah mengikut takat kemampuan pasangan dan keluarga masing- masing. 

Adapun perbelanjaan lain masih boleh dipertimbangkan mengikut tahap kemampuan kewangan dan tidak sewajarnya menjadi tanda ukur kepada kekayaan atau kemegahan semata-mata. 

Jauhilah pembaziran dan kemewahan yang tidak perlu kerana sesungguhnya seburuk-buruk belanja pernikahan ialah pada jalan kemasyhuran dan kebesaran yang membawa kepada kemurkaan tuhan. I

kutilah sikap Rasulullah SAW  yang sentiasa bedrsederhana dalam berbelanja walaupun mempunyai nama dan harta. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

Nurul Amiratul Akifah

Nurul Amiratul Akifah Hamdan ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

PENAFIAN: HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia nerupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -