Kes Nik Elin: Apa sebenarnya yang telah berlaku? 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasca petisyen yang difailkan oleh oleh peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman di mahkamah masih sehingga hari ini menimbulkan persoalan tentang apakah yang sebenarnya telah berlaku.

Kenapa dua beranak Islam kelahiran Kelantan itu sanggup bersusah payah memfailkan petisyen berkenaan yang kemudian menyaksikan 16 Enakmen Syariah di Kelantan telah dibatalkan?

Persoalan juga timbul tentang apakah  peranan Kerajaan Madani dalam menangani isu ini, terutama apabila merujuk kepada jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (atau PMX) bertarikh 21 November 2023.

- Advertisement -

Menurut kenyataan terbaharu Profesional Istiqamah, isu ini dikatakan sayang sekali telah dicemari sentimen politik dan perang ideologi yang secara halus cuba memperlecehkan implikasi sebenar kes tersebut.

Justeru, untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam kes ini, apa yang perlu difahami terlebih dahulu ialah kronologi petisyen yang telah difailkan oleh dua beranak itu.

(1) Pada 25 Mei 2022, Nik Elin memfailkan permohonan kebenaran bagi memfailkan petisyen mencabar 20 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan

(2) Pada 22 Jun 2022, Kerajaan Kelantan telah memfailkan dua afidavit bagi menjawab permohonan dan menghalang permohonan kebenaran dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan. Beberapa bantahan awal dimasukkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan antaranya berkenaan isu Locus Standi.

(3) Pada 30 September 2022, permohonan Nik Elin bagi memfailkan petisyen cabaran telah dibenarkan dengan kebenaran seorang hakim Mahkamah Persekutuan, YA Vernon Ong.

(3) Pada 10 Oktober 2022, Parlimen dibubarkan oleh PM 9, Dato Seri Ismail Sabri.

(4) Pada 13 Oktober 2022, barulah Nik Elin memfailkan Petisyen bagi mencabar Enakmen Syariah Kelantan.

(5) Pada 19 Januari 2023, Majlis Agama Islam (Wilayah, Kedah, Selangor) menerima kebenaran untuk menjadi sahabat Mahkamah (Amicus Curiae).

(6) Kerajaan Kelantan sekali lagi telah membantah dan merayu agar keputusan hakim yang membenarkan permohonan kebenaran Nik Elin bagi memfailkan petisyen dibatalkan. Namun, bantahan tersebut telah ditolak. 

(6) Pada 28 Ogos 2023, Sultan Selangor mengeluarkan titah agar satu Jawatankuasa Khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

(7) Pada mana-mana masa yang material, Jabatan Peguam Negara tidak mencelah dalam mana-mana prosiding.

(8) Pada 21 November 2023, PMX dalam jawapan bertulis telah menyatakan bahawa AGC telah memberikan pandangan bahawa keputusan Iki Putra betul, dan Kelantan tiada kuasa gubalan untuk 20 seksyen Enakmen Kelantan yang dicabar. 

(9) Pada 5 Disember 2023, Kerajaan mengumumkan telah membentuk jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang syariah.

(10) Tarikh keramat, pada 9 Februari 2024, keputusan kes Nik Elin dikeluarkan dengan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan telah dibatalkan di Mahkamah Persekutuan.

Analisis kronologi ke Nik Elin

Jika diteliti secara baik dalam kronologi kes, tidak wajar tuding menuding jari antara mana-mana era pentadbiran berlaku kerana hakikatnya petisyen Nik Elin bermula pada era selepas pembubaran kerajaan PN, manakala prosiding berjalan dalam waktu pemerintahan Kerajaan Madani.

Tanggungjawab menjaga peranan, fungsi dan kedudukan kedua-dua mahkamah syariah dan sivil sepatutnya dilaksanakan secara adil oleh semua kerajaan tidak kira warna parti politik.

Negara Malaysia pula mengamalkan konsep pengasingan kuasa, maka pentadbiran kerajaan negeri Kelantan (eksekutif) tidak boleh campur tangan urusan mahkamah (kehakiman), namun boleh bertindak dengan kapasiti sedia ada dengan membuat bantahan dan cabaran menerusi peguam yang dilantik kerajaan negeri. Namun, usaha ini juga telah ditolak oleh mahkamah.

Walau bagaimanapun, kerajaan Persekutuan juga mempunyai hak untuk turut serta sewaktu prosiding berjalan menerusi Jabatan Peguam negara (AGC) bagi menyuarakan pendirian kerajaan dalam kes ini di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sayang sekali, sepertimana dapat dilihat, kerajaan Persekutuan telah bertindak dengan tidak menghantar wakil.

Tambahan pula, jawapan bertulis yang dikeluarkan oleh PMX pada 21 November 2023 membawa mesej seolah-olah kerajaan berpendirian sama dengan Nik Elin.

Bersandarkan pula kepada keputusan Iki Putra dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak kompeten untuk menggubal undang-undang berkenaan kerana perkara tersebut terletak di bawah Senarai Persekutuan. 

Bahkan Parlimen telah membuat peruntukan undang-undang yang hampir sama dengan 20 peruntukan undang-undang yang dicabar tersebut”

Apa yang pasti, petisyen Nik Elin telah membatalkan 16 Enakmen Syariah di Kelantan. Berdasarkan prinsip ‘ratio decidendi’ (alasan yang pernah digunakan mahkamah dalam mengeluarkan keputusan), serta menerusi doktrin ‘stare decisis’ (rujukan keputusan adalah berdasarkan kes sedia ada). 

Enakmen syariah di negeri-negeri lain yang turut mempunyai peruntukan sama akan turut terbatal sekiranya dicabar.

Masalah yang sebenar adalah, terdapat kesalahan dalam enakmen syariah yang telah dibatalkan sebenarnya tidak terdapat dalam mana-mana undang-undang di peringkat Persekutuan. Contohnya, berkenaan muamalat riba.

Kesan besar kes ini sudah pasti membawa kepada kelompongan dalam undang-undang iaitu negeri tiada kuasa menggubal undang-undang tersebut dan dalam masa sama, Parlimen juga tiada kuasa gubalan. 

Contohnya dalam kes bawah riba diharamkan Allah SWT; dan kesalahan riba tidak boleh dilakukan oleh negeri.

Sebaliknya, kesalahan riba juga tidak boleh dilakukan oleh Persekutuan kerana ia adalah undang-undang yang bersifat diskriminasi bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Maka, individu Muslim yang melakukan riba tidak boleh dikenakan hukuman jenayah atas prinsip hukuman takzir ke atas beliau.

Justeru, menerusi kronologi dan analisis ringkas ini, dapatlah difahami bagaimana perjalanan sebenar kes Nik Elin yang telah berlaku. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -