Jurugambar Harakah terima anugerah Penghargaan Khas

Rizal (kanan) menerima anugerah Penghargaan Khas dari kerajaan Kelantan dan Pusat Integrasi Antara Kaum (Peka) pada 23 Feb 2024. (FOTO: UPKN)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jurugambar Harakah Cawangan Kelantan, Mohd Rizal Md Tahir antara lima penerima Penghargaan Khas dari kerajaan Kelantan dan Pusat Integrasi Antara Kaum (Peka).

Majlis anugerah Penghargaan Khas dianjurkan kerajaan negeri dan Peka sempena Tahun Baru Cina 2024 yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina, di sini malam tadi.

Anak kelahiran Johor itu mendapat penghargaan khas berikutan kejayaannya merakamkan gambar-gambar bersejarah bekas Menteri Besar Kelantan, almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antaranya gambar sentimental ialah visual ‘air mata’ almarhum Tok Guru ketika berdoa selepas solat hajat sempena Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada tahun 2008. 

Selain itu, beberapa gambar bersejarah lain turut dirakam nya dan sering digunakan sebagai poster sama ada di peringkat kerajaan negeri dan parti di seluruh negara.

- Advertisement -

Selain Rizal, seorang lagi anak jati Kelantan mendapat Penghargaan Khas, Eric Lee Chin Chuan yang telah berjaya memenangi award di peringkat antarabangsa.

Beliau pernah memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan Jurugambar Dunia Eropah (WPE), pada kedudukan ke-17 dalam negara dan WPE ke-376 di dunia daripada 11,896 peserta yang mengambil bahagian di peringkat dunia.

Timbalan Ketua Biro Sin Chew Daily Zon Pantai Timur, Ang  Wui Chong, turut diraikan pada malam tadi.

Selain seorang wartawan, beliau juga seorang penerbit dan pengarah filem-filem pendek, dan dianggarkan lebih 40 buah filem pendek telah dihasilkannya.

Gambar ‘air mata’ almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dibidik oleh Rizal pada tahun 2008. (FOTO FAIL: RIZAL TAHIR)

Dua orang lagi penerima penghargaan khas, Tha Nom a/p Eh Noi dan Ratana Kumar Sinnasamy masing-masing telah menunjukkan kecemerlangan dalam kerja-kerja kebajikan dan perniagaan.

Kesemua penerima Penghargaan Khas itu menerima hadiah berupa wang tunai, sijil penghargaan dan medal yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat dan Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Hadir sama pada majlis itu, Anggota-Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengarah Pusat Khidmat DUN  Kota Lama, Datuk Zamri Ismail, Pengerusi Peka, Lim Guang Seng dan lain-lain pimpinan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO). – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -