Kerajaan Selangor perlu tambah peruntukan JAIS

Mohamed Shukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor memohon Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari supaya menambah peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar isu guru Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) yang bersalin dapat diganti oleh guru sementara.

Ketuanya, Ustaz Mohamed Shukri Omar, berkata hakikatnya kini, sekolah perlu buat jadual waktu giliran menggunakan guru sedia ada.

- Advertisement -

Menurut beliau, jika mampu Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) atau pengurusan sekolah buat lantikan guru dan bayar per jam atau hari.

Katanya inilah yang dihadapi guru KAFA di Selangor jika ada dikalangan mereka yang cuti bersalin.

Beliau berkata, tahun lepas, Menteri Besar Selangor mengumumkan tambahan rizab negeri sebanyak RM 631.48 juta mencecah jumlah RM3.71 billion setakat 9 November 2023.

Katanya, Selangor juga mencatat lebihan kewangan sebanyak RM427.25 juta bagi tahun 2023.

Beliau mencadangkan, tambahan rizab negeri yang telah diumumkan itu boleh diperuntukkan sedikit untuk membayar elaun guru ganti.

“Tidaklah besar mana jumlah guru bersalin yang bercuti dalam satu sesi persekolahan.

“Beban guru KAFA sedia ada tidak bertambah dan sekolah tidak perlu bersusah payah mencari dana untuk guru ganti,”katanya.

Beliau berharap JAIS sudi menyemak balik ketetapan yang dikeluarkan ini dan berbincang dengan pihak kerajaan Negeri Selangor bagi memudahkan urusan guru KAFA di Selangor.

Kebajikan guru agama,kata beliau, perlu menjadi sebahagian keutamaan kerajaan negeri dan tidak sepatutnya disusahkan dan diletakkan keperluan mereka serendah ini.

“Pendidikan agama tidak boleh lumpuh dan lemah di negeri maju dan berpendapatan tinggi seperti di Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2024

- Advertisement -