Pemain Turkiye bergaduh di padang selepas kalah

Detik insiden pergaduhan membabitkan pemain dan kakitangan skuad bola sepak Turkiye, Galatasaray selepas dikalahkan pasukan Republik Czech, Sparta Prague di padang perlawanan Liga Eropah pada malam tadi, 22 Feb 2024, (FOTO: Daily Mail)
- Advertisement -

PRAHA: Skuad bola sepak Turkiye terperangkap dalam insiden serius apabila berlaku huru-hara selepas 10 pemain Galatasaray tersingkir dari Liga Europa selepas dikalahkan oleh skuad Republik Czech, Sparta Prague.

Pemain dan kakitangan Galatasaray terlibat dalam pergaduhan di atas padang selepas Sparta Prague bangkit daripada kekalahan 3-2 dalam separuh masa pertama; dan mengecewakan gergasi Turkiye itu dengan kemenangan 4-1 di tempat sendiri, untuk  mara dengan agregat 6-4.

- Advertisement -

Juara Czech itu menjaringkan tiga gol selepas pemain Galatasaray tinggal 10 orang apabila Kaan Ayhan sebelum itu dibuang padang pada minit ke-68, lapor Daily Mail.

Insiden pada malam tadi, Khamis (22 Feb) itu adalah kontroversi terbaharu yang melanda skuad bola sepak Turkiye.

Terdahulu, perlawanan dalam semua liga bola sepak Turkiye digantung selama seminggu pada bulan Disember 2023, berikutan serangan mengejutkan terhadap pengadil.

Dalam insiden tersebut, pengadil Halil Umut Meler telah ditumbuk oleh Presiden MKE Ankaragucu, Faruk Koca, yang berlari ke padang selepas pasukannya melepaskan gol penyamaan pada minit ke-97 dalam kejohanan Super Lig, seri 1-1 dengan skuad Caykur Rizespor.

Meler menerima beberapa tumbukan daripada pemain  lain ketika dia terbaring di atas rumput dan mengalami kecederaan termasuk patah tulang kecil pada mukanya.

Insiden itu mencetuskan adegan huru-hara membabitkan pemain dan pegawai kelab, menyebabkan Koca meletakkan jawatannya dan dikenakan larangan kekal oleh Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF).

Bagaimanapun, pada hari penggantungan bola sepak selama seminggu ditarik balik, skuad bola sepak Turkiye kembali menjadi tumpuan selepas Pengerusi Istanbulspor, Ecmel Faik Sarialioglu muncul mengarahkan pasukannya agar berhenti bermain ketika dalam perlawanan dengan skuad Trabzonspor.

Pihak pengurusan Istanbulspor merasakan pasukan itu sepatutnya diberikan sepakan penalti apabila Florian Loshaj terjatuh berikutan dikasari pemain Trabzonspor, Batista Mendy.

Pemain Istanbulspor kemudian meninggalkan padang, dengan perlawanan dihentikan pada minit ke-73. Rakaman yang disiarkan di media sosial menunjukkan Sarialioglu membawa pemainnya keluar dari padang. – HARAKAHDAILY 23/2/2024