Musuh akan berterusan memerangi agama Islam

Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Musuh Islam (orang Yahudi) tidak akan berhenti daripada berterusan cuba untuk memerangi agama suci ini.

Pengerusi Yayasan Permata Ummah (YPU), Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, fakta tersebut merupakan sesuatu yang telah tercatat dalam kitab suci al-Quran, yang mana umat Islam boleh melihat apa yang kini berlaku terhadap rakyat Palestin.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Terengganu berkata demikian dalam Syarahan Perdana Serambi Dunia Islam Palestin Menyatukan Dunia Islam di Malakat Mall, di sini pada malam tadi.

- Advertisement -

“Namun begitu, untuk menyelesaikan masalah-masalah sebegini kena perlu benar-benar kembali semula kepada Islam dan tiada pilihan lain sedikitpun.

“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib hidup seseorang sehingga dia mengubah nasibnya sendiri,” katanya memetik maksud dari ayat al-Quran, Surah ar-Ra’d ayat ke 11.

Beliau menyatakan Palestin merupakan milik umat Islam yang sememangnya tidak terikat kepada mana-mana bangsa pun.

Ini kerana menurut beliau, bumi Palestin merupakan milik sesiapa sahaja yang beragama Islam yang mana perjuangan melawan Israel itu sendiri perlulah berasaskan penyatuan akidah itu sendiri.

“Maka, pentingnya untuk kita sama-sama membina penyatuan akidah itu sendiri dalam perjuangan melawan apa jua kezaliman Israel di bumi Palestin,

“Ini kerana itulah asas utama dalam perjuangan Palestin dan bukannya berasaskan negara bangsa atau lain-lain kerana Palestin itu sendiri milik umat Islam tanpa mengira bangsa,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa walau apa pun yang terjadi, umat Islam akan tetap memperoleh kemenangan di bumi Palestin tetapi Allah SWT tidak akan terus memberi kemenangan secara percuma.

Tambah beliau, kemenangan dalam perjuangan membebaskan Palestin merupakan satu nikmat yang mahal yang Allah SWT berikan kepada umat Islam yang sememangnya memerlukan pengorbanan yang tinggi.

“Kita lihat kenapa emas itu berharga kerana memerlukan pengorbanan yang tinggi untuk memperolehnya tetapi kemenangan membebaskan Masjid al-Aqsa lagi mahal nikmatnya yang mana tiada jalan lain untuk memperoleh kecuali dengan jihad semata-mata,” katanya.

Beliau menyatakan juga, jihad umat Islam dalam membebaskan Palestin tidak semestinya dalam bentuk perjuangan bersenjata semata-mata tetapi juga boleh berbentuk pelbagai perkara.

“Antaranya dengan berbentuk wang iaitu boleh dermakan ke tabung membantu Palestin, doa tanpa henti sedikitpun terhadap rakyat Palestin dan malah berkongsi kandungan isu Palestin dalam mana-mana media sosial juga boleh jadi satu bentuk jihad.

“Diharapkan semakin ramai umat Islam lagi akan mempunyai kesedaran dan dapat terus bersatu hati dalam perjuangan Palestin dalam melawan apa jua kezaliman Israel,” katanya.– HARAKAHDAILY  8/2/2024

- Advertisement -