Kes Nik Elin lawan kerajaan Kelantan: Keputusan esok

Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bakal mengumumkan keputusan kes Nik Elin lawan Kerajaan Negeri Kelantan pada esok, 9 Feb 2024.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan Kelantan dalam mesyuarat exco semalam (7 Februari) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Kajian Enakmen Jenayah Syariah Kelantan sebagai usaha memperkasa perlaksanaan undang-undang jenayah dan kedudukan Mahkamah Syariah di Kelantan.

- Advertisement -

“Ia adalah sebagai langkah awal bagi kita berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan yang mungkin boleh berlaku dan berhadapan dengan kemungkinan cabaran terhadap undang-undang jenayah Syariah di masa-masa akan datang,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya berharap dan menyeru kepada masyarakat umum terutamanya rakyat negeri Kelantan mendoakan agar keputusan itu nanti berpihak kepada kerajaan Kelantan.

“Kerajaan Negeri Kelantan mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua pihak terutamanya para peguam yang bekerja keras mempertahankan kedudukan dan perlaksanaan undang-undang jenayah dan Mahkamah Syariah di Kelantan,” katanya.– HARAKAHDAILY  8/2/2024

- Advertisement -