Tuan Guru Abdul Hadi ‘Bapa Gerakan Islam’ 

Barisan tokoh Islam yang menyertai Seminar Taufan al-Aqsa embuka Tirai Minggu al-Quds Sedunia kali ke-4, di KUIZM, Kuala Lumpur pada hari ini, 6 Feb 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang boleh dianggap sebagai ‘Bapa Gerakan Islam’ yang ada pada masa ini.

Itu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang ahli perniagaan dari Mesir, Datuk Ahmad Amir Ali dalam Seminar Taufan al-Aqsa Pembuka Tirai Minggu al-Quds Sedunia kali ke-4, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Akademi Pendidikan KUIZM), di sini, hari ini.

- Advertisement -

Seminar yang dipengerusikan oleh Naib Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Selangor, Ustaz Imran Selamat itu diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifili Muhammad, pagi tadi.

Ahmad menyatakan bahawa Tuan Guru Abdul Hadi bukan sahaja mewakili gerakan Islam di negara ini, bahkan dunia Islam seluruhnya lebih-lebih lagi dalam menyokong perjuangan Palestin terhadap kekejaman Israel.

Menurut beliau, banyak negara Islam memilih untuk berdiam diri mengenai isu tersebut tetapi bukan negara Malaysia, Yaman dan Turkiye.

“Sebab itu saya puji pendirian pemerintah negara Malaysia dan Turkiye kerana mempunyai pendirian yang berani dalam menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Turut hadir ialah wakil Persatuan Ulama Palestin Dr. Nawwaf Takruri;  Rektor Kolej Universiti Islam Universiti Zulkifili Muhammad Ustaz Azhar Yahya; ulama dari Yaman, Dr. Abdullah Abdul Majid al-Zindani, wakil ulama dari Algeria, Syeikh Nuruddin La’muri; wakil Persatuan Ulama Palestin di Malaysia, Dr. Ridwan Jamal al-Atrash; dan ulama dari Turkiye, Syeikh Su’at Yassin serta Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Selangor, Dr. Mohd Zambri Mohd Zainuldin.

Sementara itu, Nawwaf menyatakan bahawa serangan terhadap Al-Aqsa juga berlaku sejak beberapa tahun negara-negara Arab cuba memulakan normalisasi dengan negara haram Israel itu sendiri.

Menurut beliau, tindakan tersebut hanya terpaksa dihentikan apabila semakin ramai rakyat negara-negara tersebut mula bangkit setelah bermulanya pembunuhan berskala besar oleh pihak tersebut terhadap rakyat Palestin.

“Jadi, negara-negara Arab terpaksa akur dengan gesaan ramai rakyat mereka agar tidak mengkhianati perjuangan rakyat Palestin yang menuntut kemerdekaan.

“Namun begitu, ramai pihak menyatakan al-Aqsa sedang ditawan tetapi hakikatnya sebahagian negara Islam juga begitu kerana tidak mampu bertindak secara berskala besar bagi menghadapi isu sebegini gara-gara faktor politik dan ekonomi yang berkaitan dengan negara-negara yang bersekutu dan menyokong negara haram penjajah itu,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Tuan Guru Haji Abdul yang sentiasa menyokong perjuangan Palestin walau apa pun keadaan.

Semenatara, Mohd Zambri pula mengalu-alukan kehadiran delegasi ulama ke Selangor dan Wilayah Persekutuan kerana memberi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong menyatakan kekesalannya atas sikap negara-negara Islam yang bermazhab Sunni kerana hanya berpeluk tubuh mengenai isu Palestin.

“Ini berbeza dengan kumpulan pejuang berlainan mazhab di Lubnan dan Yaman yang menghulurkan bantuan secara terang-terangan terhadap pejuang Palestin,”  katanya ketika memberikan ucapan penutup majlis tersebut.

Beliau turut memetik kata-kata seorang pejuang Palestin yang tular sebelum ini iaitu mereka tidak mengharapkan bantuan ketenteraan negara-negara Arab pada masa ini tetapi cukup hanya sekadar memberikan bekalan air bersih.

“Jadi, saya mengharapkan pertemuan ini bukanlah yang terakhir dan semoga acara yang bersifat tahunan ini bakal menjadi pemangkin untuk kebangkitan umat ini dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin,” katanya.  HARAKAHDAILY  6/2/2024

- Advertisement -