Pengumuman Zahid mudahkan pengundi pilih parti bela rakyat

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman kerjasama kukuh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang akan diteruskan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), memudahkan pengundi Melayu dan bumiputera membuat pendirian awal dalam PRU16 tentang parti manakah yang akan tegas membela nasib mereka kelak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian susulan pengumuman mengenai perkara tersebut oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam. 

- Advertisement -

Menurut Ahmad Fadhli, parti yang akan tegas membela nasib pengundi dan rakyat sudah tentu bukan BN yang sudah memuktamadkan akan terus bersama-sama PH, walaupun tidak memimpin gabungan itu. 

“Ia juga membuktikan bahawa kerjasama Barisan Nasional bersama Pakatan Harapan bukanlah satu kerjasama politik yang sementara kerana ‘titah Agong’ seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

“Hakikatnya, ia lebih daripada itu,” tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, BN seolah-olah sudah menerima sepenuhnya asimilasi dengan PH dan tanpa syak lagi akan membudayakan normalisasi terhadap apa juga polisi yang telah diperjuangkan oleh PH termasuklah DAP selama ini.

“Sebagai ‘orang luar’, kita memuji ketegasan Pengerusi Barisan Nasional yang tanpa berselindung menyatakan hasratnya untuk terus bekerjasama sehingga selepas PRU-16 menuju ke PRU-17. 

“Ia membuktikan dengan mudah bahawa, masa depan negara untuk bumiputera khususnya orang-orang Melayu bukan lagi diperjuangkan oleh Barisan Nasional,” katanya.  HARAKAHDAILY  29/1/2024

- Advertisement -