Tahniah rakyat Kelantan penuhi masjid solat jemaah Subuh

Orang ramai menunaikan solat Subuh beramai-ramai di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengucapkan tahniah pada rakyat Kelantan khususnya warga di bandar Kota Bharu apabila hadir menunaikan solat subuh beramai-ramai seperti solat Jumaat.

Kehadiran rakyat Kelantan menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Muhammadi, di sini awal pagi ini sempena Pelancaran Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan di luar jangkaan sehingga kehadiran jemaah memenuhi seluruh ruang masjid berkenaan.

- Advertisement -

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassruddin Daud selepas solat subuh pagi ini.

Turut hadir pada program itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad, Anggota Dewan Rakyat, (ADR), Anggota Dewan Undangan Negeri, (ADUN), Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh serta pegawai kerajaan negeri dan ketua-ketua jajahan.

Ustaz Nassruddin ketika berucap pada majlis itu mengucapkan tahniah pada rakyat Kelantan termasuk golongan muda kerana telah mengimarahkan masjid terutama solat Subuh berjemaah.

Mohd Nassruddin bersalaman dengan Badhri yang turut hadir dalam program Pelancaran Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan pada hari ini, 26 Jan 2024.

“Saya amat berbangga dengan anak muda yang menjadi penggerak dalam mengajak masyarakat untuk mengimarahkan masjid,” katanya.

Sementara itu, Nassruddin  turut berbangga dengan kehadiran lagenda bola sepak Kelantan, Badhri Radzi  yang juga merupakan penerima anugerah Tokoh Sukan Belia Negeri Kelantan pada tahun 2013.

Menurutnya pada catatan Facebooknya, Badhri banyak membantu pihak pengurusan masjid dalam menjayakan program-program serta menarik anak muda untuk ke masjid. 

Beliau menambah, inilah antara hasrat kerajaan negeri dalam membina generasi solat, generasi yang cintakan masjid dan bertaqwa kepada Allah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud,  pula mengucapkan tahniah pada pengurusan Masjid Muhammadi yang  telah berjaya menarik ramai penduduk khususnya warga Kota Bharu datang solat subuh berjemaah.

Beliau bagaimanapun berharap anggota masyarakat sewajarnya menunaikan solat subuh berjemaah di masjid bukan hanya pada hari Jumaat.

“Kita berharap rakyat Kelantan sentiasa mengimarahkan masjid, menjadikan masjid untuk solat subuh berjemaah setiap hari beramai-ramai seumpama menunaikan solat Jumaat,” katanya.  HARAKAHDAILY  26/1/2024

- Advertisement -