Laut Merah: Lima lelaki rampas kapal tangki minyak

Seorang pejuang Houthi berdiri di atas kapal kargo Galaxy Leader di Laut Merah dalam gambar yang dikeluarkan pada 20 November 2023. (FOTO FAIL: Houthi Military Media/Reuters)
- Advertisement -

SANA’A, Yaman: Lima lelaki bersenjata memakai pakaian seragam tentera dan bertopeng hitam merampas sebuah kapal tangki minyak di Laut Merah ketika serangan ke atas perkapalan komersial  sebagai tindak balas terhadap serangan Zionis Israel terhadap Semenanjung Gaza masih berterusan.

Seorang pegawai kanan pejuang Houthi sehubungan itu pada hari ini, Khamis (11 Jan), menyeru Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk campur tangan dan menghentikan genosid dan perang Israel ke atas Gaza.

- Advertisement -

Ketua jawatankuasa revolusioner tertinggi Houthi Yaman, Mohammed Ali al-Houthi bertindak balas terhadap kenyataan UNSC yang menuntut kumpulan pejuang Islam  itu segera menamatkan serangan ke atas kapal-kapal yang belayar di Laut Merah, lapor Al Jazeera.

“Kami menyeru UNSC n untuk segera membebaskan 2.3 juta orang rakyat Palestin daripada kepungan Israel-Amerika di Gaza,” katanya.

UNSC pada hari Rabu (10 Jan) secara tersirat mengesahkan pasukan petugas yang diketuai Amerika Syarikat cuba memberi perlindungan terhadap  kapal-kapal yang melalui Laut Merah ketika ketegangan yang semakin memuncak berhubung serangan di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia itu. 

Duta AS Linda Thomas-Greenfield sebelum ini memberitahu UNSC: “Jika serangan Houthi berterusan, akan ada akibatnya.”

​Sementara itu perkembangan terbaharu di Gaza, lapor Al Jazeera, Zionis Israel telah mengebom kawasan berhampiran Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir el-Balah, di tengah Gaza, membunuh sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk empat pegawai perubatan dengan Bulan Sabit Merah Palestin.

Sejak perang Hamas-Israel tercetus bermula 7 Okt 2023, sekurang-kurangnya 23,357 orang terbunuh dan lebih 59,410 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita. ​ HARAKAHDAILY  11/1/2024

- Advertisement -