Laporan polis isu fitnah Agong, Hamzah

Ahmad Ikhwan (depan, dua dari kanan) dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD Dang Wangi), Kuala Lumpur pada hari ini, 10 Jan 2024. (HARAKAHDAILY/ J Kemala)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Susulan hantaran satu artikel di laman web dan platform sosial media yang telah memfitnah Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang dikatakan cuba memberi rasuah kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, setiausaha sulit beliau tampil membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD Dang Wangi).

Ahmad Ikhwan Fadhli yang hadir di IPD Dang Wangi, di sini, berkata, pada 8 Januari lalu, ketika berada di Jalan Dang Wangi, beliau telah terbaca satu hantaran artikel di laman web dan platform sosial yang disertakan dengan gambar Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

- Advertisement -

Katanya lagi, artikel yang ditulis oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah ditulis dengan tajuk besar dan telah diterbitkan di laman web atau blog media rakyat, di mana ianya boleh diakses melalui pautan https://mediarakyatnet. Blogspot.com/2024/01/PN-cuba-merasuah-YDPA.html.

Menurutnya, antara kandungan yang dimasukkan dalam artikel tersebut adalah menyatakan bahawa ‘Perikatan Nasional (PN) cuba merasuah YDPA (atau Agong) sebanyak RM1 bilion dalam usaha mereka untuk merampas kerajaan ketika ini. 

“Dikhabarkan juga itu adalah langkah terakhir mereka sebelum YDPA baharu dilantik secara rasmi pada akhir (31)Januari ini. 

“Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dikatakan mengetuai cubaan memberi rasuah kepada YDPA. 

“Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainudin pula dikatakan sanggup mengeluarkan dana sebanyak RM750 juta untuk memberi rasuah kepada ahli-ahli politik bagi menarik sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya.

Sehubungan  itu, Ahmad Ikhwan turut menegaskan bahawa artikel yang ditulis tersebut bukan sahaja telah membuat tohmahan dan fitnah yang jijik terhadap Hamzah, malahan telah menghina YDPA seolah-olah boleh dan perlu dirasuah untuk melaksanakan kuasa dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. 

Tambah beliau, hal ini sekali gus boleh menghasut rakyat di negara ini agar hilang kepercayaan dan keyakinan kepada YDPA bahawa Baginda mempunyai kuasa melantik seorang Perdana Menteri di bawah artikel 40(2)(A) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara  di bawah artikel 43(4) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan daripada jemaah menteri melainkan jika atas permintaan Parlimen dibubarkan oleh YDPA.

Sehubungan itu, Ahmad Ikhwan turut memberitahu setakat 9 Januari (semalam), sehingga jam 9 pagi, artikel yang dimasukkan dalam Facebook milik pemegang akaun Mohamed Afan telah mempunyai 306 tanda suka (likes), 48 komen dan 40 perkongsian (shares). 

Justeru, beliau turut menyatakan bahawa setiap pernyataan yang diterbitkan dalam artikel dan hantaran Facebook secara keseluruhannya dikatakan fitnah, palsu dan rekaan semata-mata untuk menimbulkan tanggapan palsu dan tidak benar.  

“Justeru, saya memohon agar siasatan dapat dilakukan dan tindakan perlu dikenakan terhadap individu-individu yang telah menerbitkan artikel tersebut dan hantaran melalui Facebook  kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 107 Kanun Keseksaan; Seksyen 120A Kanun Keseksaan; Seksyen 124 Kanun Keseksaan; Seksyen 499 Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.  HARAKAHDAILY  10/1/2024

- Advertisement -