Peningkatan mangsa banjir di Johor membimbangkan

Khairul Faizi Ahmad Kamil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan mangsa banjir di Johor pada kali ini benar-benar berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata sebanyak 53 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menampung mangsa banjir di negeri tersebut sebanyak 7,759 orang  daripada 2,134 keluarga.

- Advertisement -

Menurut beliau, situasi banjir yang pada mulanya telah beransur pulih hampir di seluruh negeri Johor pada 7 Januari yang lalu telah kembali meningkat apabila jumlah mangsa banjir yang melibatkan enam daerah meningkat secara mendadak sehingga 12 tengah malam.

“Dalam keadaan banjir tersebut telah dilaporkan mencecah seramai 4,834 orang daripada 1,413 keluarga berbanding 3,322 orang daripada 1,007 keluarga pada 8 malam pada hari yang sama dan ini satu perkara yang membimbangkan,” katanya.

Tambah beliau, trend peningkatan mangsa banjir sebegini melibatkan kawasan-kawasan di dalam Daerah Kota Tinggi dan daerah-daerah lain yang berpotensi untuk alami bencana banjir.

Kata beliau lagi, daerah Kota Tinggi adalah yang paling teruk terjejas sehingga mencatatkan seramai 4,678 mangsa daripada 1,282 keluarga di 26 PPS,manakala Kluang meningkat menjadi 1,592 mangsa daripada 494 keluarga di 13 PPS. 

“Lebih membimbangkan, empat lembangan sungai di negeri ini menunjukkan bacaan yang sudah melepasi paras bahaya iaitu di sub lembangan Sungai Kahang di Kluang; Sungai Johor di Johor Bahru serta Sungai Kepala Orang dan Sungai Johor di Kota Tinggi.

 “Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terdapat lima lembangan sungai di negeri ini yang melepasi paras amaran iaitu Sungai Muar dan Sungai Segamat di Segamat; Sungai Lenik di Batu Pahat serta Sungai Johor di Kota Tinggi,” ujarnya.

Namun begitu menurut beliau, Sungai Muar di Segamat, Sungai Tangkak dan Sungai Kesang di Tangkak, Sungai Sembrong dan Sungai Senggarang di Batu Pahat, Sungai Sayong di Kulai, Sungai Skudai di Johor Bahru dan Sungai Sedili Besar di Kota Tinggi telah melepasi paras tahap waspada.

Bagi menghadapi langkah tersebut, beliau menyatakan Khidmat Malaysia telah mengarahkan Bilik Gerakan Negeri dan Bilik Operasi di peringkat Kawasan/Parlimen dibuka bermula esok di seluruh negeri Johor dan diaktifkan secara berterusan.

Kata beliau, walaupun  tiada kes mangsa yang belum dapat diselamatkan dari kawasan yang terlibat dengan banjir dilaporkan buat masa ini tetapi pasukan penyelamat perlu bersedia lebih-lebih lagi sekiranya  diminta untuk membantu mana-mana PPS yang terjejas.

“Sehingga kini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) masih belum mengeluarkan ramalan hujan yang terkini namun melihat kepada perkembangan cuaca, segala kemungkinan boleh berlaku,

“‘Rescue Team’ mestilah dalam keadaan bersedia dan begitu juga dengan Dapur Rakyat hendaklah bersedia termasuklah sekiranya diminta untuk membantu mana-mana PPS yang terjejas,” katanya.

Beliau berharap peristiwa sebegini dijadikan iktibar untuk sentiasa bersiap sedia pada setiap masa termasuklah dalam menghadapi banjir di negeri tersebut.  HARAKAHDAILY  10/1/2024

- Advertisement -