Langkah Dubai: Polis Kelantan hanya terima satu laporan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan pihaknya hanya menerima satu laporan mengenai ‘Langkah Dubai’ bagi menyiasat kenyataan yang dibuat oleh penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun, berkata, laporan itu telah dibuat oleh ketua sebuah parti politik di Tanah Merah pada 8 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut akan dibuat pihak Polis Bukit Aman memandangkan laporan berkenaan telah dihantar kepada pihak berkenaan.

“Polis Kelantan telah menerima satu laporan mengenai ‘Langkah Dubai’ yang telah dibuat oleh ketua sebuah parti politik.

“Pun begitu, siasatan lanjut akan dibuat oleh pihak Polis Bukit Aman memandangka laporan kes ini juga diterima di Negeri Johor,” katanya kepada media selepas selesai mengadakan mesyuarat bersama agensi penguatkuasa sempadan, bertempat di Bilik Gerakan Martak, Lubok Setol, di sini, hari ini..

Semalam media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 43 laporan daripada wakil parti politik berhubung gerakan ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -