Serangan udara Israel di Syria, penasihat tentera Iran maut

Salah seorang komander tertinggi Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Syria, Sayyed Razi Mousavi terbunuh dalam serangan rejim Zionis Israel pada 25 Dis 2023. (FOTO: IRNA)
- Advertisement -

BEIRUT: Serangan udara tentera Zionis  Israel di luar ibu kota Syria Damsyik telah menyebabkan seorang penasihat kanan dalam Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) terkorban.

Sayyed Razi Mousavi, salah seorang komander tertinggi IRGC di Syria, dilaporkan terbunuh pada hari Isnin (25 Dis).

Mangsa dikatakan bertanggungjawab menyelaraskan pakatan ketenteraan antara Syria dan Iran, bahagian penting rangkaian sekutu dan proksi serantau Iran yang dikenali sebagai Paksi Penentangan.

- Advertisement -


“Mousavi terbunuh ketika serangan rejim Zionis beberapa jam lalu di daerah Zeinabiyah di pinggir bandar Damsyik,” lapor agensi berita rasmi Iran IRNA, menggunakan nama berbeza untuk Sayyida Zeinab di selatan ibu negara Syria.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan di TV kerajaan Iran, IRGC berkata bahawa ‘rejim Zionis perampas kuasa dan ganas akan membayar untuk jenayah tersebut’.

Televisyen negara Iran mengganggu siaran berita tetapnya untuk mengumumkan bahawa Mousavi telah dibunuh, menggambarkan beliau sebagai salah seorang penasihat IRGC paling berpengalaman di Syria.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan bahawa perang Israel dengan kumpulan bersenjata Palestin Hamas di Gaza boleh berkembang menjadi konflik serantau yang lebih luas, menarik kumpulan yang disokong Iran seperti Hizbullah di selatan Lubnan.

“Mousavi adalah salah seorang komander IRGC tertua di Syria dan Lubnan, dia telah berfungsi di kawasan ini sejak tahun 80-an,” lapor pula Al Jazeera, Ali Hashem dari selatan Lubnan.

“Menurut sumber kami, Mousavi menjadi sasaran beberapa percubaan pembunuhan oleh Israel. 

“Namun, inilah masanya percubaan pembunuhan itu berjaya. Pihak Israel menuduhnya sebagai tokoh penting dalam rangkaian penyeludupan senjata dari Iran ke Syria, ke Iraq ke Syria, dan berakhir dengan Hizbullah di Lubnan, dan juga sangat berpengaruh dalam apa yang Iran panggil Axis of Resistance,” tambah Hashem. 

Laporan daripada IRNA mengatakan bahawa Mousavi adalah antara  yang mengiringi Qassem Soleimani, Ketua Pasukan Quds elit IRGC, yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat di Iraq pada 2020, yang mana Soleimani telah memainkan peranan penting dalam penyelarasan wilayah Iran. 

Media Iran juga melaporkan bahawa Presiden Ebrahim Raisi menggelar insiden serangan  itu sebagai ‘tanda kekecewaan dan kelemahan rejim Zionis di rantau ini yang pastinya ia akan membayar harganya’.

Tiada komen segera daripada tentera Israel, tetapi Barak Ravid, seorang wartawan untuk laman berita AS Axios, memetik seorang pegawai Israel yang tidak dinamakan yang mengatakan bahawa Israel sedang bersiap untuk membalas dendam yang boleh termasuk tembakan roket dari Syria dan Lubnan.

AS dan Israel telah bertahun-tahun melakukan serangan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai sasaran berkaitan Iran di Syria, di mana pengaruh Tehran telah berkembang sejak ia menyokong Presiden Bashar al-Assad dalam perang yang meletus di Syria pada 2011.

Awal bulan ini, Iran berkata serangan Israel telah membunuh dua anggota IRGC di Syria yang pernah berkhidmat sebagai penasihat tentera di sana.  HARAKAHDAILY 26/12/2023

- Advertisement -