KUALA LUMPUR: “Khidmat Malaysia mengambil perhatian serius terhadap perkembangan bencana banjir yang sedang dihadapi negara, terutama di Kelantan pada ketika ini.”
Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata demikian dalam kenyataannya, berhubung insiden seorang kanak-kanak berusia 11 tahun meninggal dunia, akibat lemas selepas terjatuh ke dalam alur sungai di Kampung Petai Dusun, Rantau Panjang Kelantan.
“Dalam kejadian (pada Ahad, 24 Dis), mangsa dikenali sebagai Siti Aisyah Mazi manakala rakan mangsa, Nur Damia Qaisara Mohd Sabre juga berusia 11 tahun dikhuatiri lemas dan sehingga kini masih belum ditemukan.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan mendoakan agar Nur Damina akan berjaya ditemui dalam keadaan selamat,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Ahmad Marzuk berpesan kepada orang ramai supaya meningkatkan kewaspadaan apabila tibanya musim hujan terutamanya apabila bencana banjir yang melanda ketika ini.
“Elakkan untuk keluar rumah dan jika kawasan anda dilanda banjir, pantaulah keselamatan ahli keluarga dan jiran tetangga khususnya terhadap anak-anak yang masih kecil kerana bahaya berada di mana-mana ketika bencana banjir berlaku.
“Adalah sangat penting untuk segera berpindah ke kawasan yang lebih selamat bila kawasan kediaman dinaiki air dan jangan tunggu sehingga waktu malam untuk berpindah kerana ia bakal menimbulkan risiko terhadap keselamatan dalam suasana tidak menentu ketika ini.
“Jangan bertangguh apabila diarahkan oleh berwajib untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) demi keselamatan mangsa banjir. Paling penting, jaga keselamatan kita bersama.
“Teruskan berdoa semoga kita semua dilindungi dan dipermudah urusan oleh Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, jumlah mangsa banjir di tiga negeri pantai timur – Kelantan, Terengganu, dan Pahang terus meningkat ekoran hujan lebat berterusan sejak kelmarin.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat semalam mengeluarkan kenyataan bahawa 87 pusat penempatan sementara (PPS) telah dibuka yang melibatkan 5,312 mangsa banjir daripada 1,556 keluarga.
Paling ramai mangsa banjir dicatatkan di Kelantan seramai 2,694 mangsa daripada 807 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS; manakala di Terengganu (53 PPS dibuka menempatkan 2,459 mangsa daripada 712 keluarga); dan Pahang (lima PPS, 155 mangsa banjir daripada 36 keluarga). – HARAKAHDAILY 26/12/2023