‘Adakah kerajaan mengalah pada industri rokok?’

Hassan Abdul Karim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menyifatkan kerajaan seolah-olah tunduk kepada pemain-pemain industri rokok kerana menggugurkan Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat Rokok (GEG).

Beliau menyatakan perkara ini di Dewan Rakyat, di sini, hari ini,  semasa membahaskan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

- Advertisement -

“Saya melihat RUU yang dibentang ini telah menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur, daripada semakan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

“Saya merasakan, saya tidak menafikan bahawa RUU yang dibentangkan ini pada tujuan yang baik. Tapi saya anggap ini satu antiklimaks,” katanya.

Tambah beliau, pada awalnya beliau sebenarnya menjangkakan bahawa RUU GEG ini dibentangkan dalam sesi persidangan ini, namun ia tidak menjadi kenyataan. 

“Dan saya berpendapat kita macam mengalah kepada industri tembakau yang besar ini. Kita mengalah. Tadi muqaddimah Yang Berhormat Menteri menyatakan bahawa ramai mati; sakit.

“Kerajaan kena belanja berbilion (Ringgit) untuk merawat (penyakit akibat merokok). Tan Sri Speaker, kita sebagai ahli politik,  Ahli Parlimen, kita nak selamatkan generasi akan datang,” ujarnya. 

Menurutnya lagi, alasan bahawa RUU GEG digugurkan atas nasihat Peguam Negara kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Negara tidak boleh diterima kerana rakyat boleh membawa akta tersebut ke mahkamah jika benar ia begitu.

“Artikel 8 itu Perlembagaan Negara, undang-undang itu, pihak yang boleh mentafsirkan undang-undang itu bukannya Peguam Negara, bukannya Ahli Parlimen, tetapi Hakim-hakim di mahkamah. 

“Kalau kita buat salah, kita buat undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara, pihak lain boleh membawa ke mahkamah menyatakan bahawa undang-undang yang kita buat di Parlimen ini ultra vires, bercanggah dengan Parlimen. 

“Mahkamah yang tentukan. Bukannya Peguam Negara jadi ‘gate keeper’. Kalau macam itu kita tak payah ada Parlimen. Biar Peguam Negara dan kabinet sahaja buat undang-undang. Tidak begitu hasrat negara demokrasi,”ujarnya.

Hasan berkata, sepatutnya peluang diberikan kepada 222 Ahli Parlimen yang ada di Dewan Rakyat untuk membuat keputusan. 

“Bincang. Boleh jadi RUU Generation End Game itu kalah, ditolak. Tidak mengapalah itu demokrasi. Tetapi belum apa bincang kita dah tarik diri. Kalah dengan lobi-lobi syarikat rokok yang besar,” katanya.  HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -