Pelajar sekolah, IPT ikuti sidang DUN Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir setiap hari menerima pemerhati dari kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

- Advertisement -

Menurut Yang Dipertua DUN, Zubir Ahmad, pihaknya menerima pemerhati sejak hari pertama persidangan, Ahad lalu.

“Hari ini kita menerima pemerhati 40 pelajar tingkatan enam (atas) dan empat guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Malek untuk mengikuti secara langsung perjalanan persidangan,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Jelasnya lagi, semalam juga SMK Tunku Malik menghantar 40 pemerhati (pelajar tingkatan enam bawah) bersama lima guru pengiring untuk mengikuti persidangan DUN.

Dalam masa yang sama, tambah beliau, 40 guru dari Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) juga hadir semalam.

“Nampaknya mereka ini berminat untuk menyaksikan persidangan DUN Kedah. Terima kasih kami ucapkan.

“Pada hari Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Not bentang Bajet 2024, kita juga menerima 45 pemerhati dari kalangan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sri Iskandar, Perak,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -