Jual arak terbuka: Bagaimana jamin hak asasi Muslim?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan tindakan menarik semula larangan penjualan arak secara terbuka dikhuatiri menjejaskan hak asasi dalam kalangan umat Islam.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, sewajarnya hal tersebut dinilai atau dirujuk kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang dimartabatkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tidakkah ia sekali mengganggu hak asasi masyarakat Muslim yang seboleh-bolehnya tidak mahu orang-orang muda, masyarakat muda di kalangan orang Muslim terlibat ataupun mendapat kebebasan untuk membeli minuman keras ini secara terbuka?

“Walaupun secara sekarang kita akui ada halangan untuk orang Islam membelinya, tetapi dengan ia dijual kembali secara terbuka kita bimbang ia akan memudahkan mereka untuk mendapatkan akses terhadap minuman-minuman seperti ini. 

“Jadi adakah ini sekaligus juga mengganggu hak asasi masyarakat beragama Islam,” ujar beliau ketika membahaskan RUU Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Tegasnya, amat perlu untuk dilihat semula polisi-polisi seperti ini agar ia perlu dirujuk balik kepada pihak-pihak yang berkaitan sebagaimana juga pengisytiharan sejagat hak asasi yang mengandungi 30 artikel. 

“Di mana di dalam Perkara 7 hak persamaan di sisi undang-undang. Isunya adakah pihak pembangkang yang juga rakyat Malaysia yang sah mendapat layanan yang sama apabila berurusan dengan premis kerajaan?” soalnya.

Beliau memberikan contoh dengan mengemukakan salinan surat Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bertarikh 22 November dialamatkan kepada Setiausaha Barisan Nasional P.040 Kemaman yang mengizinkan program pemimpin Perdana Menteri bersama rakyat.

Program pada 29 November di Dewan SMK Chenih Baru Kemaman dan Dewan SMK Bukit Keluang Kemaman itu katanya, merupakan akses politik yang dibenarkan di bangunan-bangunan milik kerajaan. 

“Persoalannya, adakah sekiranya pihak pembangkang memohon menggunakan dewan yang sama atas dasar kempen politik, ia boleh dibenarkan. Jadi ini saya fikir bahawa keadilan itu hendaklah dilaksanakan hendaklah adil.

“Dan perlu untuk dilihat adil barulah ia adil dalam makna yang sebenar,” ujar beliau yang juga Ketua Penerangan PAS memperingatkan. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -