Prosedur, kepentingan pengurusan harta buat orang ramai

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masyarakat wajar diberi pendedahan berkaitan prosedur dan kepentingan pengurusan harta bagi mengelakkan harta tersebut dibekukan.

Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) sehubungan itu, meminta penjelasan pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkaitan kerjasama pihak kementerian dengan majlis agama di negeri-negeri.

- Advertisement -

“Pada tahun ini berapakah jumlah kes pembahagian pusaka yang telah berjaya diselesaikan dan apakah wujud usaha pihak kementerian dengan kerjasama majlis agama islam negeri-negeri dalam mempromosi perkhidmatan perancangan dan pewarisan harta.

“Ini termasuk pendedahan kepada masyarakat mengenai prosedur dan kepentingan pengurusan harta berlandaskan syariat secara sistematik untuk mengelakkan harta pusaka dibekukan,” katanya pada soalan tambahan ketika sesi  jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, Abdul Latiff meminta pihak kementerian menyatakan hasrat mewujudkan sebuah jabatan khusus mengenai pembahagian harta pusaka dan langkah terkini bagi menangani lambakan isu tersebut.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam jawapannya berkata, kementerian menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian(JKPTG) sedang memperhalusi Pelan Pengukuhan Perjawatan, Bahagian Pembahagian Pusaka bagi menangani isu peningkatan permohonan kes. 

“Pengukuhan Bahagian tersebut adalah selaras dengan pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) yang telah memperluas had nilai pengurusan pusaka oleh JKPTG daripada RM2 juta kepada RM5 juta secara total merangkumi kedua-dua aset alih dan aset tak alih. 

“Pelan pengukuhan ini akan diangkat kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi semakan dan pandangan seterusnya,” katanya.  HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -