Wujud pusat pemindahan khas ternakan sementara

- Advertisement -

SAYA mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pusat pemindahan ternakan sementara yang khas kepada haiwan seperti lembu, kambing, biri-biri, ayam dan sebagainya sebagai satu langkah meminimumkan kerugian besar kepada penternak di kala dilanda bencana banjir di seluruh negara. 

Hal ini demikian kerana, Malaysia berhadapan dengan bencana banjir setiap tahun dan mengakibatkan kerugian yang begitu besar. Merujuk Laporan Khas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Mengenai Kesan Banjir di Malaysia 2022 menyatakan sektor pertanian sahaja mengalami kerugian tertinggi sebanyak 25 peratus iaitu RM154.5 juta pada tahun 2022 berbanding tahun 2021 sebanyak 2 peratus iaitu RM90.6 juta.

Tambahan lagi, Terengganu antara negeri yang mengalami kerugian besar dalam sektor pertanian bagi tahun 2022 iaitu sebanyak RM79.1 juta dan diikuti Kelantan kerugian sebanyak RM66 juta. Sudah pasti sektor pertanian yang terjejas akan mengakibatkan implikasi bukan sahaja kepada penternak tetapi juga menjejaskan ekonomi negara. 

Tidak dinafikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) ada menyediakan Manual Pengurusan Haiwan Semasa Bencana (AEMMA) sebagai panduan mana-mana kakitangan JPV dan agensi-agensi kerajaan yang lain yang terlibat semasa berlakunya bencana alam dalam pengurusan haiwan. Namun begitu, manual tersebut perlu ditambah baik dengan penyediaan pusat pemindahan khas terhadap haiwan ternakan sebelum berlakunya banjir di kawasan yang berisiko. 

Sebagai contohnya, inisiatif yang diambil oleh salah seorang penternak di Setiu yang membina kandang lembu sementara di atas bukit sebagai persediaan menghadapi bencana banjir. Di samping itu, pasukan penyelamat ternakan di bawah JPV wajar ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi banjir terutama bagi kawasan projek penternakan berimpak tinggi negeri-negeri berisiko banjir terutama di Terengganu seperti  Projek Lembu Semi Fidlot, Projek Ladang Induk Pengganda Kambing Tenusu dan sebagainya. 

Oleh itu, selain menyelamatkan nyawa manusia, kerajaan seharusnya menyediakan tempat pemindahan sementara yang lebih selamat terhadap haiwan ternakan sebelum musibah banjir dengan mengambil ibrah daripada kisah Nabi Nuh yang membawa pengikutnya dan semua spesies haiwan ke dalam kapal tersebut secara berpasangan jantan dan betina daripada banjir besar. Oleh itu, cadangan ini adalah salah satu strategi adaptasi dan mitigasi perubahan iklim dalam meminimumkan kerugian besar dalam sektor pertanian.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -