Sejauh mana pendekatan agresif Malaysia isu Palestin?

Tuan Musoddak Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prihatin dan simpati dengan nasib dialami rakyat Palestin, tidak ketinggalan memberikan sokongan dan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel di Semenanjung Gaza.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Muhammad Alamin berkata Malaysia sentiasa terlibat secara aktif dan tidak pernah gagal daripada menyertai rundingan di peringkat antarabangsa dan serantau.

- Advertisement -

“Penglibatan Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyuarakan pendirian lantang mengenai krisis yang sedang berlaku di Palestin supaya ia dapat ditangani dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Tuan Musoddak Ahmad yang mengutarakan tentang apakah  pendekatan yang lebih agresif oleh Malaysia dalam sebarang pertubuhan antarabangsa bagi menghentikan kemaraan rejim Zionis Israel melalui ‘ground offensive’ ke atas rakyat Gaza di Dewan Negara, hari ini.  

“Sokongan dan solidariti kepada Palestin telah dizahirkan semasa penyertaan Malaysia di sidang kemuncak tergempar negara-negara Arab Islam pada 11 November 2023 di Riyard, Arab Saudi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan pendirian tegas supaya usaha segera diambil bagi mencapai gencatan senjata serta-merta dan mempercepatkan pemberian bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Semenanjung Gaza. 

“Perdana Menteri telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada 14 hingga 17 November 2023. 

“Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa prinsip keadilan dan hak asasi rakyat Palestin perlu diperjuangkan di samping isu perdagangan global dan pertumbuhan ekonomi,” jelas Muhammad Alamin. 

Beliau turut memberitahu di peringkat PBB, berdasarkan tekanan politik yang berterusan oleh negara-negara anggota PBB, Majlis Keselamatan PBB pada 15 Nov lalu, telah menerima pakai resolusi mengenai situasi di Palestin. 

“Resolusi ini bertujuan menuntut semua pihak mematuhi semua undang-undang antarabangsa dan meminta gencatan kemanusiaan di semenanjung Gaza dilaksanakan segera. 

“Justeru, berkat usaha dan iringan doa yang dijalankan oleh Malaysia dan negara-negara lain, Israel dan Hamas telah mencapai kesepakatan untuk melaksanakan gencatan senjata dan menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti bekalan air, elektrik, minyak, makanan dan bantuan perubatan disalurkan kepada mereka yang memerlukan khususnya golongan kanak-kanak.

“Pembebasan sekurang-kurangnya 50 orang tewanan yang ditahan di Gaza telah bermula pada 24 Nov lalu. 

“Israel turut memberikan bantuan kemanusiaan ketika memasuki Gaza,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, pada 9 Nov lalu, Malaysia sekali lagi menyertai dan menyampaikan kenyataan negara pada perdebatan terbuka di peringkat tertinggi berkaitan situasi yang berlaku di Timur tengah termasuk persoalan mengenai Palestin. 

Katanya, Malaysia juga tidak ketinggalan menyalurkan bantuan kemanusiaan secara terus menerusi Bantuan kemanusiaan Ops Ihsan.

“Malaysia telah berjaya membuat penghantaran pertama iaitu sebanyak 20 tan barangan bantuan berbentuk bantuan perubatan dan barangan bayi yang telah dijadualkan sampai di Gaza pada 10 Nov lalu.

“Penghantaran ke-dua menerusi Bantuan kemanusiaan Ops Ihsan sebanyak 16 tan barangan bantuan perubatan, barangan bayi dan makanan telah dihantar pada 11 Nov lalu. 

“Misi ke-3 pula akan membawa bantuan bekalan perubatan, barangan bayi dan makanan sebanyak 60 tan dijangka akan bertolak dari Malaysia pada 17 Disember 2023,” kongsinya.

Beliau berkata, perkara ini jelas membuktikan bahawa Malaysia senantiasa memberikan bantuan dan sokongan padu kepada hak rakyat Palestin di semua platform dan di semua pertubuhan antarabangsa

“Kekejaman rejim Zionis dapat dihentikan dan rantau tersebut akan mencapai kedamaian yang berterusan dengan membenarkan Palestin wujud sebagai negara yang bebas dan berdaulat berdasarkan perjanjian pra 1967 di mana Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.  HARAKAHDAILY 28/11/2023