Status kajian pelajar perubatan, pergigian, farmasi

Abd. Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Abd. Ghani Ahmad (PN-Jerlun) meminta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan status kajian berkaitan pelajar dalam tiga bidang iaitu perubatan, pergigian dan farmasi.

Beliau juga meminta pihak kementerian menyatakan kesediaan untuk memberikan pendidikan percuma kepada golongan B40.

- Advertisement -

“Dalam program Temu Anwar di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, akhbar Harian Metro pada 11 Jun 2023 melaporkan Perdana Menteri mengarahkan KKM mengkaji semula keputusan mereka menghentikan penajaan biasiswa kepada tiga bidang iaitu perubatan, pergigian dan farmasi.

“Di dewan yang mulia ini juga pada 30 Oktober 2023, menteri  sewaktu menggulung perbahasan berkata, penajaan penuntut dalam bidang perubatan, pergigan dan farmasi juga adalah tertakluk kepada kajian dan unjuran yang dibuat oleh KKM.

“Jadi soalan saya, apakah status terkini kajian dan unjuran yang dibuat oleh KKM kepada pelajar pelajar dalam ketiga bidang tersebut,” katanya ketika soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut berkaitan biasiswa kepada golongan itu, ujarnya, kajian dari Jabatan Perangkaan menunjukkan sebanyak 390,000 pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia tidak berminat menyambung pelajaran.

“Adakah KKM memberi jaminan agar tajaan biasiswa ini akan diteruskan untuk tahun yang akan datang selanjutnya kerana Jabatan Perangkaan Maaysia pernah mendendahkan statistik yang memeranjatkan apabila 390,000 atau 72.1 peratus pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Hal tersebut kerana kesukaran mendapat biasiswa dan faktor kemiskinan keluarga.

“Persoalannya, adakah kerajaan bersedia memberikan pendidikan percuma kepada pelajar dari kumpulan B40 selepas tamat SPM dan bercadang menaikkan kadar biasiswa sedia ada kepada pelajar golongan ini?” katanya.  HARAKAHDAILY 27/11/2023

- Advertisement -