Saudi kecam Israel bom ibu pejabat Qatar di Gaza

Semburan Star of David dilukis di bahagian tepi bangunan konsulat Qatar di Semenanjung Gaza yang terkepung pada 13 Nov 2023. (FOTO: Middle East Eye/ X @Shaharglick)
- Advertisement -

RIYADH: Kementerian Hal Ehwal Luar Arab Saudi mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman tentera Israel ke atas ibu pejabat Jawatankuasa Qatar bagi Pembinaan Semula Gaza.

Kementerian itu pada Isnin berkata serangan tersebut adalah ‘kesinambungan daripada siri pelanggaran Israel terhadap semua undang-undang dan norma antarabangsa’, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Sehubungan itu, Saudi juga menyatakan solidariti Kerajaan dengan Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk memenuhi kewajipannya dengan menamatkan ‘kekejaman Israel terhadap orang awam, hospital, dan infrastruktur kritikal’ di Gaza secepat mungkin

- Advertisement -

Sementara Kementerian Luar Kuwait dan Qatar pada Isnin berkata, pengeboman ibu pejabat itu adalah lanjutan daripada dasar Israel menyasarkan rakyat Palestin, terutamanya memandangkan jawatankuasa itu berfungsi untuk mengurangkan penderitaan penduduk Gaza akibat pengepungan dan pencerobohan yang berterusan.

Justeru, Qatar menyeru Israel untuk berhenti menggunakan ‘justifikasi tidak substansial’ untuk menyasarkan orang awam, infrastruktur awam dan kemudahan kesihatan. Ia juga menyeru Israel untuk berhenti menyebarkan maklumat yang salah.

UAE, Oman, Jordan gesa genjatan senjata di Gaza

Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Oman dan Jordan mengeluarkan kenyataan serupa, menggesa gencatan senjata segera untuk memelihara nyawa orang awam dan memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa halangan di Gaza.

Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Mohamed Al-Budaiwi mengecam tindakan tentera Israel, dengan menyatakan bahawa pengeboman itu adalah bukti lanjut tentang kekejaman dan kecuaian tentera Israel.

Al-Budaiwi menekankan apa yang disebutnya sebagai pengabaian Israel terhadap kehidupan orang awam, dengan menyatakan sasaran ibu pejabat jawatankuasa, hospital, sekolah, kawasan kediaman, dan tempat perlindungan.

Setiausaha Agung GCC itu memuji Jawatankuasa Qatar atas sumbangan besarnya kepada usaha pembinaan semula Gaza, menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah segera untuk menyelesaikan krisis, termasuk pemberhentian permusuhan dan penubuhan koridor selamat untuk penyampaian bantuan kemanusiaan.

OIC tumpang kecam Israel

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut menyertai kutukan itu, melabelkan pengeboman itu sebagai sebahagian daripada pencerobohan tentera Israel yang berterusan terhadap orang awam Palestin dan infrastruktur penting.

OIC menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan, memaksa Israel untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan. Organisasi itu mengetengahkan resolusi Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini yang menekankan keperluan untuk perlindungan orang awam, kemudahan awam, dan pekerja kemanusiaan.

Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmad Abul-Gheit mengulangi kecaman itu, melabelkannya  sebagai jenayah perang’.

“Tindakan sebegitu (jenayah perang Israel) sepatutnya tidak terlepas daripada hukuman,” katanya.

Simbol ‘star of David’ askar Israel

Terdahulu, Middle East Eye melaporkan, askar Israel telah melukis arca ‘Star of David’ pada bangunan konsulat Qatar yang rosak teruk di Semenanjung Gaza.

Shahar Glick, seorang wartawan di Radio Tentera Israel, menyiarkan imej bangunan itu di platform X, pada hari Isnin.

“Askar (Israel) meninggalkan ‘setem’ pada (ibu pejabat) kedutaan Qatar yang musnah di Semenanjung Gaza pagi ini, tulisnya.

Simbol itu boleh dilihat disembur di tepi bangunan empat tingkat itu, yang rosak teruk akibat bedilan, yang mana bangunan berkenaan terletak di kejiranan Rimal di bandar Gaza.  HARAKAHDAILY 14/11/2023

- Advertisement -