MINGGU lepas saya telah berkesempatan menikmati nasi lemak bersama seorang kawan lama di sebuah restoran yang terkenal di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau telah bersara tetapi sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu semasa.
Kami banyak berbual tentang kisah-kisah lama tetapi akhirnya perbualan kami bertukar menjadi serius kerana beliau pernah terlibat dengan perancangan di beberapa buah negeri dan saya pernah menjadi Exco Perumahan. Tambahan pula restoran itu berada di Kampung Baru yang akan dibangunkan semula dan telah mencetuskan pelbagai kontroversi.
Katanya ketika beliau mengikuti pengajian peringkat Sarjana (Masters) di Eropah, beliau telah terdedah kepada kajian yang dilakukan terhadap polisi perancangan bandar negara haram Israel. Menurut beliau, pembangunan di Israel mengambil kira mereka yang akan menduduki kediaman-kediaman yang dibangunkan. Contohnya pendatang bangsa Yahudi dari Eropah atau negara-negara lain.
Rejim Zionis memang bertindak merampas tanah-tanah milik bangsa Arab untuk dimanfaatkan oleh pendatang-pendatang Yahudi. Di dalam usaha untuk memastikan peratus penduduk bangsa Yahudi lebih tinggi dari penduduk bangsa Arab, cara yang paling mudah adalah dengan membawa masuk pendatang Yahudi dari luar negara.
Sehubungan itu, beliau menimbulkan persoalan sama ada kerajaan kita mempunyai perancangan siapa yang akan membeli atau menetap di pembangunan-pembagunan baharu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Sama ada kerajaan membiarkan pasaran menentukan siapa yang tinggal di pembangunan-pembangunan yang dibina atau seperti pemerintah Israel yang menentukan siapa yang akan membeli dan menetap di situ.
Kawan saya juga menceritakan bagaimana beliau pernah memberi peringatan kepada pimpinan sebuah kerajaan negeri di mana beliau bertugas bahawa pembangunan yang mereka luluskan akan mengakibatkan parti mereka kalah di beberapa kerusi DUN. Peringatan beliau itu tidak dilayan oleh mereka sehingga beberapa hari sebelum satu pilihan raya umum di mana ketika itu telah terlambat. Ternyata pandangan beliau itu tepat kerana parti itu telah tewas di kerusi-kerusi DUN tersebut.
Sungguh menakjubkan seorang profesional yang tidak terlibat dengan politik lebih nampak bahaya yang mendatang dari pemimpin-pemimpin politik. Susah hendak difahami apa yang mengaburkan pandangan pimpinan politik sehingga gagal menyedari faktor-faktor yang mengancam survival politik mereka. Mungkin mereka berbangga dengan pembangunan yang bertaraf antarabangsa tetapi pada hakikatnya mereka akan kehilangan kuasa. Penduduk yang selama ini memberi sokongan telah dipecahkan kepada kelompok-kelompok yang kecil sehingga kehilangan kuasa penentu sebagai pengundi. Mungkin mereka tidak pandai membaca pelan atau adakah terdapat faktor-faktor lain?
Kawan saya juga berkata tindakan-tindakan orang politik kadang-kala mengejutkan beliau kerana memudaratkan masa depan politik mereka. Beliau telah merujuk kepada sebuah syarikat yang diterajui oleh orang-orang politik yang telah menjual satu lot tanah yang besar kepada sebuah syarikat pemaju. Tanah itu telah diperolehi dari kerajaan. Pemaju tersebut kemudian telah memajukan tanah itu dengan pembangunan bercampur sama ada kediaman atau komersil tanpa sebarang kawalan yang ketat. Akibatnya berdasarkan komposisi penduduk, kerusi Parlimen dan DUN di mana tanah itu berada mustahil akan dapat dimenangi oleh parti orang-orang politik yang menjual tanah tersebut. Pada hakikatnya mereka telah menggali kubur mereka sendiri.
Tahun ini Menteri Perumahan telah mengumumkan satu akta baharu berkaitan pembangunan semula bandar yang akan dibentang di Parlimen. Tidak diketahui sama ada akta ini adalah untuk mengawal pembangunan semula atau untuk mempercepatkan pembangunan semula. Saya yakin kawan saya itu sudah tentu berharap agar orang-orang politik hari ini terutamanya dari blok pembangkang akan menjadi lebih cerdik dari orang-orang politik yang beliau ceritakan kepada saya.
Perumahan adalah satu instrument politik yang efektif. Pembangunan semula bandar pula berupaya memastikan mana-mana parti politik terus berkuasa. Penerangan, perbincangan, perbahasan dan bantahan perlu bermula dari sekarang. Rakyat perlu dilibatkan dari sekarang. Rakyat perlu diberikan kesedaran. Jangan jadi seperti di seberang tambak. Jangan jadi seperti pimpinan negeri yang diberi amaran tentang kehilangan kerusi-kerusi DUN tetapi gagal mengambil tindakan.
DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
14 November 2023 – HARAKAHDAILY 14/11/2023