Kekang naratif Islamofobia guna jenama ‘Gelombang Hijau’

Perwakilan parti yang hadir Muktamar PAS ke-69 dengan semangat 'Gelombang Hijau' dan solidariti terhadap Palestin di IDCC, Shah Alam, Selangor pada hari ini, 20 Okt 2023.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS telah memberi jaminan keadilan, keamanan dan kesejahteraan hidup untuk semua kaum dan agama di negara ini.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan, PAS melalui pemerintahan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah berjaya membuktikan bahawa kebebasan beragama kepada penganut agama lain tidak dihalang, rumah-rumah ibadat tidak dirobohkan dan kegiatan ekonomi tidak disekat, sehingga orang bukan Islam hidup aman dan sejahtera di bawah pentadbiran PAS dengan diberikan hak kebebasan beragama dan bermasyarakat.

Namun, kata beliau kejayaan PAS bersama PN mentadbir negeri dianggap negatif kerana PAS beristiqamah berpegang kepada Islam, walaupun PAS berjaya menjadi sebuah parti yang paling berintegriti tanpa rasuah dan penyelewengan mahupun perebutan jawatan dalam pentadbirannya.

Oleh itu, PAS mesti mengekang naratif Islamofobia yang menggunakan jenama ‘Gelombang Hijau’ untuk menakutkan kalangan bukan Islam dan pihak tertentu terhadap prestasi PAS yang berjaya mencapai kerusi terbanyak dalam kalangan semua parti politik, di samping berjaya menawan dan mentadbir beberapa kerajaan negeri.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC di sini, hari ini.

Tambahnya, PAS menerima kerjasama dan persefahaman dengan bukan Islam yang tidak bersifat ekstrem.

PAS juga, ujar beliau tidak melarang dan membuka jalan kepada mereka untuk mengkaji ilmu Islam, membaca al-Quran dan ilmunya dengan panduan dan kawalan, cumanya al-Quran tidak boleh diterjemahkan dan ditafsirkan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang berkait dengannya, sama ada penganut Islam ataupun bukan Islam yang mengkaji al-Quran.

“Semuanya diwajibkan mengikuti ilmu dan disiplinnya,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tuan Giru juga menjelaskan prihatin yang bermaksud mengambil berat dan perhatian terhadap sesuatu perkara, khususnya dalam aspek memenuhi tujuan manusia diciptakan supaya beribadat, berkhilafah (berpolitik mentadbir dengan agama) dan menunaikan amanah (melaksanakan hukum Allah yang adil terhadap semua).

Katanya, konsep sekularisme menjadikan sifat prihatin tidak dilaksanakan dalam urusan kehidupan dengan sempurna, kerana berpisah daripada pertimbangan agama yang benar.

Hal itu, ujarnya melemahkan sikap prihatin umat Islam terhadap kewajipan yang wajib ditunaikan.

“Maka, lakukan ibadat dan tegakkan konsepnya dalam seluruh kegiatan kita. Laksanakan politik matang dan sejahtera, dan mentadbir mengikut hidayah bukan jibayah (kebendaan), serta tegakkan keadilan kepada seluruh manusia.

“Kita juga perlu membuat muhasabah dan perhitungan yang sewajarnya apabila melihat banyak perkara yang negatif dalam perjalanan pengurusan ekonomi negara,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, masih banyak masalah dan penyakit-penyakit yang tidak dapat diselesaikan, seperti masalah kemiskinan, pengangguran, inflasi yang membebankan rakyat, kezaliman dengan bersikap double standard, dan masalah yang menyanggah prinsip Perlembagaan Persekutuan, iaitu federalisme.

Masalah kemiskinan, ujarnya tidak boleh dihapuskan, tetapi boleh diatasi di mana Islam membahagikan kemiskinan kepada fakir dan miskin.

“Orang fakir ini yang memerlukan pertolongan, ada yang fakir sepanjang hayat, dan perlu dibantu selama-lamanya.

“Ada yang boleh dibantu dan boleh dipulihkan, sehingga berubah menjadi miskin dan boleh menjadi kaya. Miskin pula ada yang perlu dibantu, ada yang boleh berdikari.

“Ini pembahagian yang dibuat oleh Islam dan boleh diurus dengan cara yang baik,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -