Laksana tiga konsep penting Adil, Prihatin dan Berkebajikan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pada muktamar tahun lepas, PAS telah menawarkan ‘Malaysia Sejahtera’ kepada rakyat Malaysia bagi mempersiapkan parti sebagai sebuah kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, maka pada tahun ini, PAS meneruskan hala tuju dan pendekatannya dengan meletakkan jaminan kepada seluruh rakyat sama ada dalam kalangan Islam atau bukan Islam, bahawa perjuangan PAS di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri yang dikuasai oleh PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) bersama seluruh wakil rakyatnya wajib mengisi kemenangan sekadar bidang kuasa yang ada dengan melaksanakan tiga konsep yang penting iaitu Adil, Prihatin dan Berkebajikan.

Ini, jelasnya berpandukan firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 90 yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) kepada kamu agar kamu mengambil pelajaran untuk mematuhi-Nya”.

Beliau menjelaskan, adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul mengikut petunjuk Allah (Islam), dan ia merupakan sifat wajib bagi Allah SWT, serta termasuk dalam nama-nama-Nya yang indah (al-Asma’ al-Husna) iaitu Maha Adil.

Katanya, sifat adil diwajibkan kepada hamba-Nya untuk dilaksanakan dalam segala aspek kehidupan yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna.

Tambahnya, keadilan hendaklah merangkumi aspek aqidah, syariat dan akhlak, termasuk politik, pentadbiran, kehakiman, ekonomi, keluarga, masyarakat dan lain-lain.

“Kita meletakkan asas yang kukuh bagi menegakkan keadilan apabila mewajibkan setiap calon yang bertanding diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak kerana menegakkan keadilan dalam Islam adalah amanah paling besar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC di sini, hari ini.

Katanya lagi, keadilan Islam hendaklah dilaksanakan, termasuk kepada musuh.

“Pengalaman berdepan dengan kerajaan pusat yang berkonsepkan kleptokrasi (pencuri) dan kakistokrasi (tidak tahu memerintah) yang berlagak dengan kuasa yang dimiliki, tetapi tidak tahu mengurus dengan adil, seharusnya menjadi pengajaran kepada kita,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, kerajaan pada hari ini juga bersifat double standard sehingga melanggar prinsip demokrasi dan Islam yang masih dikepung dan dipenjara semata-mata kerana ingin meneruskan agenda penjajah.

Bukan itu sahaja, ujarnya kerajaan melanggar prinsip perlembagaan sehingga merempuh konsep federalisme dan perjanjian yang telah dimeteraikan, serta melanggar sumpah yang diikrarkan.

Beliau menambah, sikap kerajaan hari ini terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS-PN yang merupakan pembangkang bagi mereka, menjadi bukti yang nyata secara khusus sejak zaman-berzaman.

Katanya, keadaan itu terjadi kerana kerajaan yang didakwa sebagai Kerajaan Perpaduan, dibentuk daripada kalangan mereka yang bermasalah dan mahu menyelamatkan diri masing-masing.

Menurut beliau, mereka terdiri daripada mantan banduan, kluster mahkamah dan bakal yang hendak diselamatkan secara tidak bermoral dan tidak bermaruah.

Beliau berkata, mereka langsung tidak mempedulikan amaran Allah SWT di dalam Surah Taha, ayat 124 hingga 126 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah dia, ‘Wahai Tuhanku, mengapakah Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya seorang yang celik?’ Allah berfirman, ‘Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan”.

Tuan Guru menjelaskan, para ulama tafsir menegaskan dalam ayat itu bahawa mereka yang meninggalkan petunjuk Allah akan mengalami bencana kesempitan hidup walaupun berharta dan mempunyai sumber manusia yang cukup.

Katanya, negara ditimpa kesusahan dalam keadaan mempunyai sumber yang mencukupi, tetapi tiadanya keberkatan.

Tambahnya lagi, negara turut dibebankan dengan masalah kesempitan hidup, masalah tekanan hidup, masalah kemiskinan, inflasi, pengangguran, hutang, masyarakat berpenyakit, dan banyak masalah yang menyusahkan.

“Marilah kita laksanakan konsep adil kepada semua di negeri-negeri di bawah kuasa pentadbiran kita, mengikut bidang kuasanya di samping memohon pertolongan dan keampunan daripada Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -