Perundangan Islam di negara ini berdepan cabaran besar

- Advertisement -

SHAH ALAM: Wakil Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, perundangan Islam di negara ini berdepan dengan cabaran besar kerana dicabar pihak tertentu.

Kata beliau, sekiranya perkara itu tidak dipertahankan dibimbangi akan menjejaskan perundangan Islam di seluruh negara.   

- Advertisement -

“Isu seorang rakyat Kelantan yang dikenali sebagai Nik Elen mencabar 20 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Negeri Kelantan perkara serius.

“Apa yang boleh kita tengok beberapa hakim yang sama dalam kes Nik Elen, kalau ditakdirkan dimenangi pencabar tersebut akan menghancurkan seluruh enkmen agama Islam di seluruh negeri,” katanya ketika membahas ucaptama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pada muktamar hari ini.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, kes itu akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada 20 November hadapan.

Sehubungan itu katanya kerajaan negeri akan menganjurkan perhimpunan di Stadium Sultan Muhammad IV pada 18 November untuk bermunajat dan solat hajat kepada Allah Taala.

“Kita minta rakan-rakan dari negeri lain datang untuk bersama-sama bermunajat kepada Allah Taala bagi mempertahankann perundangan Islam,” ujarnya.

Manakala wakil Selangor berkata, ulama perlu memainkan peranan bagi memastikan perlembagaan negara ada jati diri sehingga tidak dapat dicabar pihak tertentu.

Kata beliau kelemahan yang dikesan antaranya berkaitan dengan masalah bahasa di mahkamah sivil masih lagi mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris.

Katanya, penyelesaian dalam bidang perundangan tidak dapat dilaksanakan kerana ada yang menyekat iaitu berkaitan bahasa kerana apa yang diterima di mahkamah masih lagi menggunakan versi Inggeris.

“Contohnya kes Indra Ghani lawan Majlis Agama Islam Perak pada 2018 yang menyebut anak usia 18 tahun ke bawah ditentukan agama mereka oleh ibu atau bapa.

“Begitu juga kes Loh di mana tiga anak yang memeluk Islam, namun mahkamah memutuskan dikembalikan kepada ibunya. Kes-kes seumpama itu tidak selesai jati diri Melayu dan Islam dalam perlembagaan negara,” katanya. 

Oleh itu katanya Dewan Ulamak perlu memainkan peranan untuk memastikan pindaan perlembagaan dibuat untuk memastikan negara kita ada jati diri.

- Advertisement -