Dr Mahathir bantu SG4 tingkat kegiatan ekonomi

- Advertisement -

KANGAR: Kerjasama antara State Government 4 (SG4) mampu meningkat pelaburan yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan dan hasilnya akan dinikmati rakyat.

- Advertisement -

Penasihat SG4 Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, SG4 memberi fokus kepada meningkat kegiatan ekonomi serta pelaburan ke Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Katanya perkara itu boleh dilakukan melalui bidang kuasa sedia ada.

Lagi pun kata beliau negeri terbabit mempunyai sumber dan aset negeri yang banyak.

“Walaupun Perlis tidak menonjol berbanding negeri lain dan sumber pendapatannya terhad, sebenarnya negeri ini mempunyai kelebihan dan aset yang boleh jana pertumbuhan ekonomi.

“Umpamanya cuaca yang panas sesuai diadakan projek tenaga solar secara besar-besaran. Saya juga dimaklum sudah ada industri perubatan dan farmaseutikal bertapak di Perlis,” katanya pada kenyataan selepas mengadakan perjumpaan dengan saf kepimpinan negeri semalam.

Hadir sama Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri. Program itu diadakan di Kediaman Rasmi MB Perlis. (Foto atas)

Dr Mahathir juga berkata, hasil tani terutamanya mangga harum manis mendapat permintaan tinggi.

Selain itu hutan, bukit dan gua turut menjadi produk pelancongan yang popular di Perlis.

Perlis juga banyak tanah kosong yang terbiar boleh diusahakan tanaman pokok jati di tepi-tepi jalan raya.

Menurutnya pokok jati nilainya cukup tinggi dan ia sesuai ditanam di Kedah dan Perlis.

“Sepatutnya ia ditanam jarak tidak kurang 30-40 kaki, tetapi yang ada sekarang ditanam 5 kaki setiap pokok, ini punca pokok tidak boleh tumbuh membesar.

“Sepatutnya sekarang sudah masuk tempoh ‘harvest’ dan boleh keluarkan hasil. Jadi cara tanam perlu diperbetul semula.

“Contoh tanaman pokok jati terbaik ialah di Langkawi kerana ia ditanam dengan jarak sesuai. Ranting pokok jika diukir jadi hulu tongkat ada harganya,” ujarnya.

Menurutnya beliau pernah membawa tongkat buatan Malaysia ke Amerika dan ditunjuk kepada seorang peruncit terbesar.

Kata beliau peniaga terbabit membelek ukiran tongkat tersebut dan berminat, kemudian dibuat ‘trial order’ sebanyak 10,000 unit.

Menurutnya juga menumpuan secara bersungguh-sungguh dalam industri kayu jati mampu memberi pulangan kepada negeri.

“Apa yang penting bagaimana cara kita tingkatkan kebolehan dan kembang aset sedia ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -