Turunkan kadar tarif elektrik industri makanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menurunkan kadar tarif tenaga elektrik kepada industri pembuatan makanan, terutama kilang memproses padi dan pembungkusan beras.

Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berkata, inisiatif itu bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna akibat peningkatan harga beras.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pengurangan tarif itu untuk pastikan peningkatan kos sara hidup tidak membebankan rakyat.

“Saya mencadangkan tarif elektrik kepada pembuatan makanan seperti kilang memproses padi dan pembungkusan beras diberikan tarif lebih rendah berbanding pembuatan lain.

“Industri lain seperti biasa, pengurangan ini bagi memastikan barang makanan seperti beras yang sampai kepada pengguna dengan lebih murah dan tidak membebankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan bagi Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Bekalan Elektrik 1990 atau Akta 447 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah itu berkata, Suruhanjaya Tenaga perlu memastikan bekalan domestik mencukupi sebelum dijual atau dieksport.

Pada Ogos 1996, katanya kerajaan membenarkan Penjana Tenaga Bebas (IPP) beroperasi untuk menjana lebih banyak bekalan elektrik, tetapi masih ada sesetengah kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Menurutnya, bukan sahaja di Padang Serai malah banyak tempat tempat lain mengalami gangguan bekalan elektrik sehingga tujuh jam yang menjejaskan sosio ekonomi penduduk tempatan.

“Kebelakangan ini sering berlaku kekurangan bekalan tenaga elektrik dalam negara seperti yang berlaku di kawasan parlimen saya yang menyebabkan masalah kepada penduduk.

“Ini terutama bagi yang menjalankan perniagaan di Pekan Padang Serai baru-baru ini antara lima hingga tujuh jam, masih ada juga kampung di kawasan saya terganggu,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023