Taufan Al-Aqsa: ‘The end game?’

- Advertisement -

OPERASI Taufan Al-Aqsa diteruskan buat hari kedua. Seperti diramalkan serangan balas Israel telah berjaya melawan asakan bertali arus daripada pasukan darat pejuang Palestin di wilayah berhampiran Gaza.

Quds News Network pula telah mengeluarkan peta pertempuran kini yang semakin luas memasuki wilayah Rahat. Manakala beberapa kawasan Timur Gaza diberitakan masih berada di bawah kawalan pejuang pembebasan Palestin.

Angka rasmi berkenaan kematian dan kecederaan sejak Operasi Taufan Al-Aqsa dimulakan masih tidak selaras mengikut sumber yang pelbagai. Namun, sekurang-kurangnya dilaporkan seramai 313 syuhada di pihak umat Islam Palestin manakala 1,990 telah tercedera. Manakala di pihak Zionis laknatullah pula dilaporkan sekurang-kurangnya 600 penjajah telah terkorban dan 1,800 tercedera.

Beberapa individu berprofil tinggi pula telah menjadi sasaran. Antara yang telah berjaya dihapuskan pejuang Palestin termasuklah komander batalion komunikasi Israel, Leftenan Kolonel Sahar Makhlouf dan Komander Briged Nahal, Yonatan Steinberg.

Manakala salah satu pegawai senior tentera Israel, Major Jeneral Nimrod Aloni, mantan Komander IDF Division Gaza dikhabarkan telah berjaya ditangkap oleh pasukan HAMAS.

Beberapa kubu-kubu IDF berhampiran Gaza pula telah berjaya ditawan satu demi satu oleh pasukan pejuang pembebasan Palestin. Antaranya termasuklah kubu Kissufum, kubu Kfar Aza serta kem latihan tentera di Erez.

Pertempuran balas membalas tembakan antara pejuang pembebasan Palestin dengan tentera dan polis Israel terus bersambung antaranya di Asqalan, Ashfod dan Mavikim.

Dalam perkembangan lain berhampiran Tebing Barat pula, Hizbullah telah mengebom tiga pos tentera Israel menerusi bedilan mortar di Selatan Lubnan. Hizbullah secara rasminya telah menyahut seruan menyertai operasi Taufan Al-Aqsa.

Operasi kali ini juga menyaksikan penggunaan kali pertama dron berani mati oleh pihak HAMAS sebagai salah satu senjata terbaharu dalam arsenal menentang tentera penjajah Zionis laknatullah.

Sebagai tindak balas Israel telah mengebom beberapa wilayah di Gaza antaranya kawasan kejiranan Al Karama, menara Al Aklouk, menara Al Watan, Bank Islam Kebangsaan Gaza di kejiranan Nasser serta kawasan-kawasan lain sepanjang Gaza.

Ternyata umat Islam di Palestin tidak lagi boleh berdiam diri. Memang benar seperti diumumkan Muhammad Deif bahawa Operasi Taufan Al-Aqsa akan berakhir dengan dua sahaja pengakhiran, sama ada Gaza hilang atau Tel Aviv ditawan.

Apa pula reaksi kita umat Islam di Malaysia? Sudah terbit bibit simpati daripada sebilangan rakyat Malaysia terhadap kumpulan Zionis laknatullah dan penjajah Yahudi yang menduduki wilayah orang Palestin secara haram.

Kita perlu berhati-hati dengan kumpulan hipokrit dan munafik yang bersembunyi dalam kalangan umat Islam.

Amatlah menyedihkan terdapat sebilangan daripada puak ini pula merupakan umat Islam sendiri. Ternyata mereka telah tertipu dan termakan dengan dakyah permainan media dan senjata ‘hak asasi manusia’ yang menjadi benteng daripada Zionis laknatullah mendapat balasan daripada jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan selama ini.

Sebagai umat Islam kita perlu faham, isu Palestin bukan sekadar isu kemanusiaan atau isu penjajahan. Akan tetapi ia adalah isu aqidah dan soal kesucian tanah haram umat Islam yang ketiga iaitu Baitul Maqdis.

Sumber kekuatan HAMAS dan segala pejuang pembebasan Palestin bukanlah kerana ingin merdeka semata-mata. Namun mereka sanggup bergolok bergadai kerana memperjuangkan dan mempertahankan tanah suci kita.

Baitul Maqdis dan Palestin adalah barisan hadapan perjuangan kita menentang kafir yang tidak akan pernah redha dengan Islam. Kita wajar menyokong mereka tanpa alasan.

Al Quds milik kita!

UTHMAN CHE AZIZ
Projek Anak Muda Islam – HARAKAHDAILY 9/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -