Ahli Majlis perlu bantu jaya ‘The Greater Kedah’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman yang mencukupi bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan berkesan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Ahli Majlis berperanan sebagai jurucakap dan menjelaskan pendekatan yang diambil PBT berkaitan isu rakyat.

“Ahli Majlis perlu memainkan peranan masing-masing terutama untuk menghadapi ekonomi masa hadapan yang semakin mencabar.

“Selain setiap perancangan PBT perlu efisien, ia juga lebih mesra pelabur supaya mendapat hasil yang cepat dan lebih tinggi.

“Justeru Ahli Majlis perlu menjadi jurucakap menjelaskan berkaitan pengutipan cukai, pelarasan cukai taksiran, kesedaran menggunakan kemudahan sosial dan pelbagai lagi,” katanya pada perasmian Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis PBT di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) semalam.

Pada majlis itu seramai 300 ahli majlis mengangkat sumpah menerima jawatan. Jumlah berkenaan melibatkan 25 Ahli Majlis di setiap 12 daerah seluruh Kedah.

Menteri Besar juga berkata, selaras motto ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’, setiap Ahli Majlis perlu menjayakan ‘The Greater Kedah’.

Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan Ahli Majlis bukan satu profesion sebaliknya dipilih memikul amanah dan tanggungjawab yang berat untuk manfaat rakyat.

“Jawatan ini bukan tiket untuk mendapatkan penghormatan yang tinggi oleh orang sekeliling, sebaliknya amanah yang akan dipersoalkan Allah di akhirat nanti.

“Ia juga bukanlah ‘tasyrif’ untuk dipandang mulia, sebaliknya amanah yang Bertanggungjawabkan terutama kepada masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/10/2023

- Advertisement -