Israel serang, bunuh 313 rakyat Palestin di Gaza

Penduduk Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan rumah yang musnah dalam serangan Israel di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza, pada 8 Okt 2023. (FOTO: REUTERS/Ibraheem Abu Mustafa)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Sekurang-kurangnya 313 rakyat Palestin telah terbunuh oleh serangan Israel yang menyasarkan Semenanjung Gaza yang dikepung, manakala lebih 2,000 cedera.

Kementerian Kesihatan Gaza dalam kenyataannya pada lewat Ahad (8 Okt) yang dihantar kepada agensi media, The New Arab, berkata bahawa sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak adalah antara yang maut, dengan lebih 150 kanak-kanak di bawah umur cedera, termasuk beberapa dalam keadaan kritikal.

- Advertisement -

CNN pula melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 313 rakyat Palestin telah terbunuh dan 1,990 lagi cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu, merujuk kepada kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza.

Sementara laporan The Guardian pula berkata, Kementerian Kesihatan Palestin berkata bahawa sekurang-kurangnya 400 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk 20 kanak-kanak, dan hampir 2,000 cedera akibat serangan udara Israel di Gaza sejak Sabtu. 

“Tujuh orang turut terbunuh dalam tembakan tentera Israel di Tebing Barat, termasuk seorang kanak-kanak,” ujar kenyataaan itu.

Pada malam Sabtu (7 Okt), 2.3 juta penduduk Gaza yang terkepung mengalami serangan hebat oleh Israel yang menyasarkan sebahagian besar wilayah itu, tambah laporan The New Arab pula.

Israel mendakwa bahawa ia menyerang lebih 500 sasaran milik Hamas, termasuk rumah kediaman pemimpin dan tapak tenteranya.

Bagaimanapun, penduduk tempatan di Gaza berkata bahawa Israel dengan sengaja menyerang rumah orang awam untuk mengenakan dasar hukuman kolektif,sebagai tindak balas pelancaran 5,000 roket oleh Hamas ke negara haram tersebut pada Sabtu.

Sehingga pagi Ahad, pertempuran senjata api masih berlaku kedua-dua pihak di beberapa lokasi termasuk balai polis di Sderot di sempadan Gaza.

“Sekurang-kurangnya lima rumah runtuh menimpa penduduk kediaman mereka selepas diserang oleh pesawat pejuang tentera Israel,” kata Ashraf al-Qidra, jurucakap kementerian kesihatan kepada The New Arab.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengenakan tekanan terhadap Israel supaya menghentikan pencerobohannya ke atas rakyat Palestin di Gaza, yang sudah mengalami sekatan selama 17 tahun.

Untuk hari kedua berturut-turut, enklaf pantai telah menyaksikan peningkatan ketenteraan sejurus selepas Hamas, kumpulan Islam yang memerintah Gaza, melancarkan operasi ketenteraan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Israel.

Operasi kumpulan itu  digelar ‘Al-Aqsa Banjir’, bermula dengan melancarkan beribu-ribu roket dari Gaza ke bandar-bandar Israel, manakala berpuluh-puluh  menyusup masuk ke bandar-bandar Israel bersebelahan dengan Gaza. – HARAKAHDAILY 9/10/2023