Pengunjung Alor Setar, Sungai Petani disaran pakai pelitup muka

Setakat ini Alor Setar menunjukkan trend peningkatan kepada paras IPU hampir tidak sihat.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Orang ramai yang berkunjung ke Alor Setar dan Sungai Petani dinasihatkan memakai pelitup muka untuk menapis partikel halus terutama bagi mereka yang mempunyai masalah pernafasan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kualiti udara terutama di Alor Setar dan Sungai Petani mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang tidak sihat. 

- Advertisement -

Jelasnya sehingga Ahad lalu, semua stesen pemantauan kualiti udara di Kedah mencatatkan status IPU sederhana iaitu Alor Setar (94), Sungai Petani (93), Kulim Hi-Tech (78) dan Langkawi (79).

“Selari dengan saranan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihat supaya ditangguhkan sekiranya bacaan IPU melebihi 100.

“Setakat ini Alor Setar dan Sungai Petani menunjukkan trend peningkatan kepada paras IPU hampir tidak sihat,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut Syarifah, JAS Kedah juga menjalankan rondaan berkala bagi mengesan pembakaran terbuka sebagai salah satu tindakan mengesan dan mengawal punca tempatan.

“Namun, tiada aduan pembakaran yang diterima hasil  semakan rekod aduan bermula 28 Sept lalu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan situasi jerebu semakin buruk di beberapa negeri sejak 30 Sept lalu dipercayai berpunca daripada asap tebal ekoran kebakaran hutan di Indonesia. – HARAKAHDAILY 4/10/2023

- Advertisement -