Terengganu setuju terima Lapangan Terbang Kerteh

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersetuju menerima Lapangan Terbang Kerteh, Kemaman daripada Petronas sehingga tempoh 31 Mac 2026.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata untuk itu satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras dan memantau proses penyerahan lapangan terbang itu serta menilai model perniagaan, cadangan pengurusan sebagai persediaan menerima penyerahan lapangan terbang tersebut.

Katanya, kerajan negeri melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) untuk meneroka segala potensi serta merangka pelan pengoperasian lapangan terbang itu setelah penyerahan dari Petronas.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Petama Penggal Pertama Dun ke-15 di sini hari ini.

Dalam soalannya, Saiful Azmi ingin tahu perancangan negeri terhadap pengoperasian dan pembangunan Lapangan Terbang Kerteh setelah ia diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri Terengganu oleh Petronas nanti.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Adun Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membuat keputusan, bersetuju untuk menerima secara dasar cadangan penyerahan keseluruhan aset yang merangkumi tanah, bangunan dan peralatan di lapangan terbang tersebut.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju mengekalkan tapak lapangan terbang itu untuk aktiviti berkaitan penerbangan.

“MMKN juga menubuhkan jawatankuasa khas lapangan terbang itu yang bertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau proses penyerahan Lapangan Terbang Kerteh serta menilai model perniagaan, cadangan pengurusan lapangan terbang itu sebagai persediaan menerima penyerahan lapangan terbang nanti,” ujarnya.

Tambahnya, hasil kajian awal oleh Terengganu Inc yang telah dibentangkan kepada jawatankuasa khas telah mendapati lapangan terbang itu tidak mempunyai potensi yang cukup baik untuk kerajaan negeri meneruskan operasi sebagai lapangan terbang dan aktiviti berkaitan penerbangan,” jelasnya.

Katanya, jawatankuasa khas itu memutuskan agar Terengganu Inc meneruskan kajian lanjut untuk meneroka potensi dan bidang lain untuk pembangunan seterusnya tapak lapangan terbang itu.

“Saya ingin memberi komitmen bahawa kerajaan negeri akan terus membuat kajian dan penilaian walaupun antara cabaran yang wujud adalah lebih kepada peningkatan kemahiran ekonomi (economic upskill) dan pulangan pelaburan (return of invesment) sama ada kepada pihak kerajaan ataupun pihak swasta yang ingin meneruskan pelaburan di lapangan terbang tersebut,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/10/2023

- Advertisement -