Pelan strategik pertanian akan dilaksana 100 peratus

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri berjaya melaksanakan 55 (95 peratus) daripada 58 program Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Indutsri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata menjelang penutup pelan tersebut kerajaan negeri mampu melaksanakan 100 peratus dari perancangan yang digariskan. 

“Sejak dilancarkan pada bulan 4 Ogos 2019 dan bakal berakhir menjelang penghujung tahun 2023, sebanyak 55 daripada 58 program utama telah dilaksanakan dengan peratusan pelaksanaan sebanyak 95 peratus,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Ustaz Ahmad Shah Mohamed pada persidangan Dun, di sini hari ini.

Dr Azman yang juga Adun Jabi berkata laporan pencapaian akan dikeluarkan dalam tempoh suku pertama tahun 2024 dan akan dibentangkan dalam persidangan Dun.

“Kita sedang mengemaskini bengkel untuk menyusun dan memperbaharui perancangan pelan strategik bagi tempoh lima tahun akan datang iaitu mulai tahun 2024-2028 dengan mengambil kira komponen yang digariskan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) dan manifesto yang telah diumumkan kepada rakyat,” ujarnya.

‘Way forward’ selepas ini, katanya ialah yang pertama untuk meningkatkan hasil pengeluaran tanaman, penternakan dan industri asas tani, kedua untuk memperkasakan aspek keselamatan serta kualiti makanan dan  ketiga untuk melengkapkan rantaian nilai.

Menurutnya projek yang dimasukkan di bawah tajuk quick win ialah projek yang tidak menelan belanja yang besar tetapi memberi hasil segera kepada rakyat.

“Hanya kita fokus kepada bantuan input touch point kepada golongan sasar sama ada petani, penternak atau nelayan yang meliputi bantuan info peralatan dan mekanisasi.

“Yang kedua isu pembangunan infrastruktur termasuk pertanian, penternakan dan perikanan meliputi pembangunan taman kekal pengeluaran makanan, naik taraf dan sistem pengairan sawah padi dan ladang serta kebun penduduk dan yang ketiga menaik taraf sistem jalan pertanian dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Seterusnya kata beliau kerajaan negeri fokus untuk menangani bencana yang selalu menimpa sektor pertanian sama ada dalam bentuk bencana alam, wabak penyakit dan serangan hidupan liar yang memusnahkan sebahagian daripada hasil pertanian penduduk. – HARAKAHDAILY 3/10/2023