Kuasa Pusat banteras kartel campur beras tempatan, import

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mencampurkan beras tempatan dan import.

- Advertisement -

Ini kerana, menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, negeri tiada sebarang bidang kuasa untuk menangani masalah berkenaan.

“Beras tempatan dikeluarkan hasil penat lelah petani dilabel sebagai beras import. Negeri tiada sebarang bidang kuasa maka kerajaan Persekutuan yang perlu ambil tindakan.

“Sekarang tindakan susulan daripada pihak berkuasa. Negeri tiada kuasa dari segi penguatkuasaan. Perkara ini banyak kali kita maklum kepada kementerian sama ada secara langsung dan tak langsung.

“Pelbagai forum dihadiri. Hari ini kita maklumkan di sidang DUN supaya mendapat perhatian,” katanya kepada pemberita pada persidangan Dun hari ini.

Beliau berkata, tindakan mencampurkan beras tempatan dan import menyebabkan berlakunya pengurangan bekalan beras tempatan di Terengganu.

“Pengeluaran beras seluruh negara mencakupi 67 peratus manakala import sebanyak 33 peratus. Jadi bagaimana 67 peratus boleh hilang dalam pasaran.

“Ini isu yang timbul dan kenapa jual beras dengan harga super import sebab beras import tiada harga kawalan sedangkan harga beras tempatan masih dikawal pada kadar RM2.60 sekilogram (kg).

“Jadi berdasarkan tinjauan saya memang dapati beras tempatan dicampur dengan beras import iaitu sebanyak 70 peratus beras tempatan dan 30 peratus beras import. Kemudian beras dicampur itu dilabel sebagai beras super import yang dijual pada harga hampir RM40,” katanya.

Dr Azman yang juga Adun Jabi berkata, kerajaan negeri berperanan meningkatkan pengeluaran beras di termasuk menaik taraf sistem pengairan, kesuburan tanah selain menyediakan tabung bencana pertanian kepada petani.

Namun, kata beliau, peranan kartel sejak peringkat awal telah mempengaruhi pengeluaran beras tempatan. – HARAKAHDAILY 3/10/2023

- Advertisement -