KUALA TERENGGANU: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Dato’ Mohd Nor Hamzah menjunjung setinggi-tinggi tahniah sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan di samping keberangkatan Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dun ke-15 pada 1 Oktober lalu.
“Semoga Allah merahmati dan memelihara ke bawah duli Sultan dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, semoga sentiasa memberikan kesejahteraan dan kesihatan yang berpanjangan ke bawah duli-duli Tuanku dalam memimpin dan mentadbir negeri Terengganu Darul Iman ini,” katanya ketika berucap pada hari kedua persidangan Dun di sini hari ini.
Justeru beliau menyeru Adun Terengganu menekuni dan meneliti titah ucapan Tuanku Al Sultan sebaiknya serta dapat memberi perbahasan yang berkualiti dan berkesan agar titah ucapan baginda dapat direalisasikan dalam Dun.
Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Yang Dipertua Dewan Dun, Dato’ Yahaya Ali dan akan meneruskan legasi beliau menjadikan Dun ke arah badan legislatif yang terunggul.
Katanya, legasi itu disambut baik dan akan disambung dengan usaha-usaha berterusan dari semua Adun yang juga ahli legislatif yang baharu pada hari ini.
“Saya yakin dengan kerjasama yang baik dari semua ahli yang berhormat pada hari ini kita akan dapat melaksanakan amanah rakyat yang berkesan dalam dewan yang mulia ini,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 3/10/2023