‘Insya-Allah kita yakin kita boleh menang’

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS yakin dapat memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang akan diadakan nanti.

- Advertisement -

“Insya-Allah kita yakin kita boleh menang, yakin untuk menang majoriti. Kita akan bekerja ke arah itu,” kata Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau menyatakan demikian susulan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan parti itu tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September lalu yang telah membenarkan Petisyen Barisan Nasional terhadap Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid.

Menurutnya, PAS tidak pernah menganggap mana-mana kerusi sebagai mudah untuk dimenangi termasuklah Dun Ru Rendang walaupun telah menang puluhan tahun, apatah lagi kerusi parlimen.

“Mana yang ada kita akan anggap suatu medan untuk kita bekerja dengan keras, sepenuh hati daripada jentera.

“Dan saya percaya rakyat kita yang berada di kawasan itu juga sangat teruja untuk memberi kemenangan kepada calon PAS untuk pilihan raya (kecil) ini,” ujarnya yang juga Menteri Besar kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.

Mengenai calon PRK itu, beliau menjelaskan PAS belum membuat keputusan lagi.

pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi.

Tiga calon lagi ialah Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506). – HARAKAHDAILY 3/10/2023

- Advertisement -