PRK N.36 Pelangai: Ayuh beri undi untuk perubahan!

- Advertisement -

UMNO yang didukung Pakatan Harapan akan berhadapan dengan PAS yang bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL di Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai, Pahang pada 7 Oktober ini di samping seorang calon Bebas.

Umno bertanding mempertahankan kerusi ini yang diwakilinya sejak merdeka. Kerusi ini berada dalam Parlimen Bentong yang diwakili DAP.  Kerusi DUN ini pernah diwakili mantan Menteri Besar Pahang, Tan Sri Dato Sri Di Raja Adnan Yakob selama enam penggal berturut-turut sejak 1986. Tahun 1999 beliau dilantik menjadi Menteri Besar Pahang.

Ternyata Pelangai merupakan kubu kuat Umno, tetapi dengan perkembangan politik semasa tambahan ‘Gelombang Hijau’ yang melanda seluruh negara khasnya di kawasan-kawasan Melayu, DUN ini yang punya 74.19 peratus pengundi Melayu berdaftar dijangka melihatkan pertandingan sengit antara BN dan PN.

Memang ia pernah diwakili Adnan yang punya rekod perkhidmatan yang cemerlang, namun sejak ‘Gelombang Hijau’ memuncak, iaitu gelombang kebangkitan dan kesedaran politik khasnya di kalangan umat Melayu Islam, banyak kawasan Melayu yang diwakili Umno termasuklah PKR dan PAN telah terkorban dan menjadi mangsa. Pelangai mungkin juga tidak terkecuali.

Kawasan segagah Parlimen Permatang Pauh iaitu Parlimen kubu kuat keluarga Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim sekali pun mampu kecundang angkara ‘Gelombang Hijau’ dalam PRU Parlimen baru-baru ini termasuklah 4 DUN di bawahnya, habis disapu PN dalam PRN Negeri, maka tidak mustahil kerusi DUN Pelangai juga mampu dirampas PN jika jentera PN bekerja bersungguh-sungguh.

Malahan sejak gelombang ini melanda, kerusi-kerusi kubu kuat PH-BN termasuklah Gua Musang, Kepala Batas, Gerik, Parit Buntar, Lumut, Bagan Serai, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuantan, Rompin, Jasin umpamanya habis jatuh ke tangan PN belaka. Rata-rata mana sahaja kerusi yang majoriti pengundi Melayunya mencecah 70 peratus, ia satu kerusi panas, di mana PN punya potensi besar untuk tawan.

Umno mungkin punya rekod tidak pernah kalah di DUN ini, walau bagaimanapun Umno hari ini bukan Umno tahun 1986 ketika Adnan mula-mula bertanding ataupun Umno tahun 1999 ketika Adnan mula menjadi Menteri Besar. Itu Umno lebih 30 tahun dulu. Hari ini Umno pada kedudukannya yang paling lemah dalam sejarah. Umno bukan lagi tulang belakang kerajaan Persekutuan di Putrajaya sebagaimana tahun 1986 atau 1999, hari ini ia sekadar menyumbang 26 kerusi bagi membantu menubuhkan Kerajaan PH, jika 26 itu undur semua pun Kerajaan ini tetap tegak menunjukkan Umno tiada kekuatan apa pun sekadar menenggek atas ikhsan Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim.

Di Pahang yang Adnan pernah menjadi Menteri Besar, Umno juga hari ini juga bukan lagi tonggak. Ia tidak sekuat dahulu semasa zaman Adnan. Hari ini BN cuma punya 17 dari 42 kerusi, tidak sampai pun 50 peratus. Dengan 17 kerusi itu ia tidak mampu bentuk Kerajaan kerana PN juga punya 17 kerusi, tetapi ia bernasib baik kerana PH dengan 8 kerusi memberikan ia sokongan, kerana itu hari ini baut pertama kali ada wakil DAP dalam EXCO Kerajaan Negeri Pahang.

Jadi dalam senario politik semasa, tidak mustahil Umno juga boleh ditamatkan penguasaannya di DUN Pelangai kiranya para pengundi DUN ini turut memilih untuk bersama ‘Gelombang Hijau’.

Sesungguhnya semua indikator tidak menyebelahi Umno hari ini. Keputusan Presidennya untuk meninggalkan Muafakat Nasional, enggan bekerjasama dengan PN dan sebaliknya memilih untuk bersekongkol dengan PH yang didominasi DAP untuk membentuk Kerajaan dan memperoleh kuasa, tidak disenangi akar umbi, ahli dan penyokong partinya sendiri.

Ramai yang dipecat, digantung keahliannya dan ramai lagi memilih untuk berdiam diri serta secara protes mengundi PN kerana tidak berkenan dengan sikap dan pendirian politik Ahmad Zahid Hamidi. Sehingga hari ini Umno masih gagal merawat ketidakpuasan ahli-ahlinya terhadap isu ini.

Ramai yang tidak dapat menelan, tidak sanggup menerima untuk bekerjasama dengan DAP yang mereka kira musuh tradisi Umno, parti ekstremis, cauvinis yang tidak senang pada Umno dan perjuangan memartabatkan agama dan bangsa. Begitu juga untuk bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan PH.

Selain itu isu rakyat dan negara. Isu berkaitan kenaikan harga makanan, kesukaran memperolehi bahan makanan, kegagalan Anwar Ibrahim dan PH memenuhi janji-janji pilihan rayanya, terus menghantui rakyat termasuklah ahli-ahli dan penyokong Umno sendiri.

Keengganan pimpinan negara termasuklah dari Umno untuk mendengar suara dan rintihan rakyat dianggap sebagai satu pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan. Krisis bekalan beras khasnya beras tempatan dan kenaikan harganya dilihat gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan PH dan BN. Apatah lagi apabila pimpinan memilih untuk menafikannya dan lari dari isu.

Rakyat belum pulih dari isu bekalan telur dan kini tepung gandum juga dikatakan bakal melihatkan kenaikan harga dan sukar berada di pasaran. Ini semua meresahkan rakyat, dan Kerajaan PH-BN dilihat tidak mampu mengatasinya. Sudah pasti ia akan menjadi isu penting buat rakyat di DUN Pelangai.

Dalam pada itu isu kepimpinan yang bersih dan bebas rasuah juga menjadi keutamaan dan kriteria penting buat para pengundi Melayu Islam termasuklah dari Umno sendiri. Rakyat terkejut mengikuti perbicaraan melibatkan Presiden Umno apabila beliau dilaporkan sewenang-wenangnya menggunakan wang Yayasan untuk kepentingan peribadinya.

Dalam memberi perhatian pada kes ini yang cukup mengecewakan ramai, tiba-tiba Kerajaan PH-BN memilih untuk memberikan DNAA pada Zahid. Ia pasti melegakan beliau tetapi rakyat jelata tidak berpuas-hati dan cukup marah dengan keputusan ini.

Pelangai penting buat Umno, kerana ia kubu mereka. Jika mereka gagal mempertahankannya, maka hancurlah harapan Umno untuk kembali bangkit, tidak mustahil ia akan semakin goyang dan tidak mustahil ia boleh pupus dimakan zaman.

Segalanya terletak ditangan lebih 16,000 pengundi di DUN Pelangai. PN mengemukakan alternatif buat mereka. Tiba masanya untuk kita menyelamatkan politik umat Melayu Islam, tiba masanya untuk kita bersatu membawa perubahan demi kebaikan ummah, Undilah untuk perubahan. Undilah calon PN Cikgu Kasim Samat dan bersama kita melonjakkan lagi ‘Gelombang Hijau’ ini.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 29/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -