ISLAMABAD: Pemain kriket Pakistan menerima berita alu-aluan yang mengujakan sejurus sebelum berlepas ke Piala Dunia ODI yang kini sedang berlangsung di India, selepas lembaga kriket negara itu mengumumkan kontrak baharu untuk tiga tahun akan datang.
Perjanjian baharu telah diuruskan antara pemain dan pengurusan selepas berbulan-bulan rundingan, dengan bahagian pusat hasil daripada Majlis Kriket Antarabangsa menjadi isu utama.
Pada hari Rabu (27 Sept) lalu, lembaga pengarah Pakistan mengumumkan kenaikan gaji yang besar untuk pemain kontrak, dan juga kenaikan dalam yuran perlawanan masing-masing.
Menurut perjanjian baharu itu, pemain teratas dalam Kategori A’ akan menyaksikan kenaikan 200 peratus dalam gaji bulanan mereka, manakala pemain kontrak lain akan menikmati kenaikan gaji lebih 100 peratus.
Ia menyaksikan tiga pemain dalam Kategori A meraih pendapatan tertinggi terdiri daripada Babar Azam, Mohammad Rizwan dan Shaheen Afridi, yang masing-masing bakal menerima gaji sebanyak 4.5 juta rupees Pakistani (RM72,680) sebulan.
Selain itu, yuran perlawanan pemain telah dinaikkan sebanyak 50 peratus untuk Ujian, 25 peratus untuk ODI dan 12.5 peratus untuk Twenty20 International.
Kontrak baharu itu dilihat sebagai satu usaha untuk memastikan pemain terbaik Pakistan cergas dan bersedia untuk komitmen nasional dan tidak terpikat oleh liga T20 lain yang berlangsung sepanjang tahun dan telah menjadi saluran yang menguntungkan ramai pemain kriket di negara itu.
Gaji pemain kriket Pakistan:
Kategori A (RM72,680/bulan)
Babar Azam
Mohammad Rizwan
Shaheen Afridi
Kategori B (RM46,890/bulan)
Shadab Khan
Fakhar Zaman
Haris Rauf
Naseem Shah
Imam-ul-Haq
Mohammad Nawaz
Kategori C (RM28,134/bulan)
Imad Wasim
Abdullah Shafique
Kategori D (RM7,971/bulan)
Fahim Ashraf, Hasan Ali, Iftikhar Ahmed, Sarfaraz Ahmad, Saud Shakeel, Shan Masood, Ihsanullah, Mohammad Haris, Mohammad Wasim Jr., Saim Ayub, Agha Salman, Shahnawaz Dahani, Usama Mir dan Zaman Khan.
Sebagai rekod, mantan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, 70, merupakan bekas pemain kriket lagenda negara itu dengan aset kekayaan terkumpul mencecah AS$50 juta (RM235 juta) – HARAKAHDAILY 29/9/2023