DAP ‘di sebalik’ MB Umno: Kuasai sumber air negeri?

- Advertisement -

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak telah memansuhkan Akta Air 1920 dan digantikan dengan enakmen baharu. DUN telah meluluskan Rang Undang-undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2023 setelah dipersetujui oleh lebih Ahli Dewan pada persidangan kelmarin.

Ketua Pembangkang, YB Haji Razman Zakaria mewakili Ahli-ahli Dewan Negeri daripada PERIKATAN NASIONAL (PN) bagaimanapun menyuarakan sebaliknya. Enakmen sepatutnya memelihara kepentingan rakyat dan menjadi kedaulatan negeri itu tidak dikuasakan kepada Ketua Kerajaan.

Menteri Besar tidak dinyatakan sebagai Pengerusi kepada Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak. Tidak sebagaimana enakmen seumpama di beberapa negeri lain yang meletakkan secara khusus Menteri Besar mengetuai hal dan hak amat strategik serta penting itu.

Entah, beliau tidak merasa ia urusan penting untuk diterajuinya, atau beliau ‘melepas dan menyerah’ kepentingan tersebut, atau beliau ‘diarah’ tidak mengetuai urusan itu? Salah satu, bahkan semuanya adalah sesuatu yang serba mungkin!

Di situ memberi erti tersirat bahawa tadbir urus penggunaan dan pelesenan sumber air akan ‘terdedah’ kepada ‘kepentingan pihak tertentu’. Termasuk juga nanti berkaitan pencemaran sumber air dan penguatkuasaan. Bermakna kawal selia yang dijalankan Pihak Berkuasa Negeri nanti sebenarnya ‘dipegang atau digenggam’ oleh ‘lembaga’ tertentu.

Di DUN Perak sebagaimana juga DUN Pahang, Umno – Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan hasil keputusan PRU15 lalu dan begitu juga PN. Tetapi sekiranya Umno-BN sedia bersama PN yang terdiri daripada PAS dan BERSATU, maka Kerajaan Melayu-Islam terkuat dapat dibentuk di dua negeri itu.

Malangnya, Umno-BN yang semakin hilang kerusinya di dua negeri itu memilih bersama Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP. Ia kejutan dan semua pihak sejak itu lebih awal ‘berprasangka’ bahawa Umno-BN akan ‘dipengaruhi’ atau ‘dikawal’ oleh DAP.

RUUSA yang diluluskan itu menjadi salah satu petanda kepada kebimbangan tersebut dengan dilihat DAP sebagai ‘lembaga’ untuk meraih kepentingan di sebaliknya. Terutama dalam perdebatan sebelum ini untuk sumber air dari Perak khususnya di kawasan Kerian disalurkan bagi kegunaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

Nah! Inikah bukti dominasi atau kekuasaan Menteri Besar daripada Umno hanyalah boneka dan terpaksa tunduk kepada cengkaman ‘Abang Besar’ DAP? Buta dan benakkah Umno melihat jajaran strategik sedang dimungkinkan DAP dengan menguasai tadbir urus sumber air ini?

Kaitan atau kesannya nanti tentulah kepada sektor pengairan dan pertanian khususnya penanaman padi di sawah yang terbentang luasnya di negeri ini. Semua itu adalah ‘kehidupan’ tradisional para petani miskin dalam kalangan orang Melayu.

Begitulah bagaimana DAP berpengaruh dan berkuasa tanpa memperlihatkan wajahnya, tetapi batang tubuh Melayu Umno dan Melayu PH (baca PAN) boleh dimanfaatkannya. Mangsanya ialah rakyat terutama orang Melayu termasuk hak dan kepentingan kehidupan serta masa depan mereka.

Walaupun RUUSA ini masih awal untuk dilihat bergerak, namun asas dinyatakan ini sangat penting bagi menjamin menguntungkan kerajaan dan tidak merugikan rakyat. Adalah satu malapetaka jika keterbukaan atau ‘fleksibel’ yang menjadi suara sokongan di pihak kerajaan ketika persidangan kelmarin itu akan menguntungkan pihak ketiga dan bukannya rakyat apatah lagi negeri. 

Saya yakin Menteri Besar dan ADUN Umno bersetuju dengan cadangan Pembangkang terutama pelantikan Menteri Besar sebagai Pengerusi. Namun tiada suara dari Umno kedengaran kerana di kiri kanannya ada PH-DAP. 

Apakah Umno kini benar-benar telah hilang bisa dan taringnya? Apakah Umno kini terpaksa menutup mulut lantaran keseimbangan kerusi DUN kerajaan adalah dominasi DAP? 

Tempoh singkat ‘perkahwinan paksa’ Kerajaan Negeri Perak akan lebih menyerlahkan kepimpinan Melayu dalam Umno hanya mampu mengetip bibir dengan mulut tertutup kerana ada gula-gula memenuhi mulut.

YEOP IPOH
Pemerhati Politik Negeri Perak – HARAKAHDAILY 29/9/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -