Razman bimbang pihak berkepentingan kuasai sumber air

Rang Undang-undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2023

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan pengurusan sumber air negeri itu akan dikuasai oleh pihak berkepentingan di masa depan.

Menurut beliau, ia berikutan Menteri Besar selaku entiti tertinggi pentadbiran negeri tidak dinyatakan sebagai Pengerusi kepada Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak dalam RUU yang diluluskan kelmarin.

Terang beliau, RUU Sumber Air Perak 2023 yang telah diluluskan dan akan menjadi enakmen itu tidak menyatakan dengan jelas anggota Lembaga tersebut sebagaimana dalam peruntukan enakmen seumpama di negeri lain.

Demikian itu ujar beliau, ia membolehkan Lembaga tersebut menyerahkan hak mengurus kepada mana-mana pihak termasuk syarikat swasta yang berkepentingan keuntungan berbanding tanggungjawab kepada rakyat dan negeri.

“Akhirnya rakyat atau pengguna dimangsakan melalui caj bekalan air kerana pihak berkenaan lebih kepada nak dapatkan keuntungan. RUU itu kita sokong, tetapi anggota Lembaga itu mesti dinamakan.

“Bila Menteri Besar sebagai Pengerusi, maka akan jadi tanggungjawab baginya selaku entiti tertinggi pentadbiran mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.

“Beliau mesti membenarkan atau memutuskan sesuatu perkara berkaitan penggunaan air ini sebagai perkara paling penting. Bila RUU itu tidak menamakan, bermakna ia terbuka.

“Suatu hari nanti mungkin mereka memikirkan kononnya hendak diswastakan. Jadi ia akan ‘terlepas’ kepada pihak yang memikirkan keuntungan. Tapi bila namakan Menteri Besar, ia sepatutnya jaga rakyat dan negeri,” jelas beliau.

ADUN Gunong Semanggol itu berkata, perkara tersebut mungkin tidak berlaku dalam masa terdekat, tetapi ia mungkin terjadi di masa depan. – HARAKAHDAILY 29/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -