Sistem ‘PADU’: Punca Rafizi salahkan tabiat makan luar?

- Advertisement -

MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli kena bantai berbakul-bakul oleh orang ramai selepas kritikannya terhadap tabiat makan luar di kalangan rakyat.

Dia kata, “Di negara lain, makan di luar dilihat sebagai perkara riadah. Kita membelanjakan lebih banyak wang untuk membeli bahan mentah, memasak, dan memakannya, sekali-sekala, kita akan keluar (untuk makan).”

Dia juga secara sorok-sorok menyalahkan Umno pasal masalah ini: “Jadi ini semua perkara yang saya fikir adalah akibat yang tidak diingini daripada banyak dasar masa lalu.”

Pendek kata, Rafizi mengaitkan kesusahan hidup rakyat kepada budaya makan di kedai.

Kesimpulan Rafizi ini ada 2 kecacatan logik yang asas: Pertama, yang naik bukan setakat harga makan luar, sebenarnya yang melambung ialah bahan mentah untuk masak makanan. Bahkan jika kita tinjau penjaja dan peniaga gerai, kedai-kedai makan luar umumnya terpaksa menanggung kenaikan kos dan tidak menaikkan harga walaupun kos bahan mentah naik mencanak.

Menurut laporan Bank Negara berkaitan Exchange Rate Pass Through (EPRT), jika nilai Ringgit jatuh, yang paling terkesan ialah alat ganti dan kelengkapan rumah. Kemudian, barulah belanja makan luar dan makan rumah yang kedua-duanya tidak jauh berbeza.

Kedua, macam mana dia sanggup menyalahkan tabiat makan luar? Kalau tak makan luar, maknanya kena tapau daripada rumah. Kos bahan sebelum dimasak pun dah melambung. Kena ambil kira juga kos daripada segi masa dan tenaga untuk siapkan makanan. Kalau makan di kedai, jimat masa dan tenaga.

Tambahan pula, ada tabiat-tabiat lain yang mahal. Misalnya, kos insurans menaik. Bayaran pinjaman bank juga melambung lebih-lebih lagi selepas kenaikan OPR. Pelbagai barang selain makanan juga menaik. Kenapa Rafizi hanya salahkan tabiat makan luar?

Punca Rafizi buat kesimpulan ke laut ini ialah sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang menurutnya ialah kajian sosio-ekonomi rakyat berdasarkan Pendapatan Selepas Belanja Bersih (Net Disposable income). Secara atas kertas, PADU nampak macam bagus kerana mengambil kira belanja berbanding analisa B40, M40, T20 yang tidak mengambil kira belanja. Walau bagaimanapun, belanja bergantung kepada tabiat setiap orang. Setiap orang mempunyai tabiat berbeza kerana desakan hidup setiap orang berbeza.

PADU yang berdasarkan Pendapatan Selepas Belanja tadi membuatkan Rafizi bersifat ‘bias’ untuk menolak tanggungjawab jawab berjimat kepada rakyat. Kemudian, dia mahu memaksa rakyat memilih satu tabiat yang Pak Menteri rasakan betul.

Ini bercanggah dengan hak untuk memilih setiap manusia. Pada 2017, Richard Thaler mendapat anugerah Nobel Ekonomi melalui konsep ‘Nudge’. Motivasi untuk mencipta konsep ‘Nudge’ ialah ‘libertarianism’ atau hak setiap orang untuk memilih secara bebas. Kalau PADU akhirnya dijadikan alasan kerajaan untuk memburukkan tabiat makan luar, ini dah tak betul!

Pak Menteri Ekonomi kena faham yang penyelesaian isu ekonomi bukan setakat tambah tolak dan berjimat cermat. Cukup-cukuplah keluarkan formula dan harapan palsu – tak kurang juga menipu.

YB WAN AHMAD FAYHSAL – HARAKAHDAILY 19/9/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100054056748124/posts/pfbid024e7772DAPxuf5kWDi134XVfDAscUdRzff6xw6ZmHsXKFA7Mhqx26ZTdkZ9q3KVX3l/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -