DALAM banyak-banyak jenis ketagih, ketagih bercakap dan mempersenda rakyat adalah jenis ketagihan yang sukar diubati. Apa lagi apabila ketagih bercakap dan mempolitikkan semua perkara sehingga otak gagal berfungsi dengan baik.
Soal makan di luar dalam konteks nasi bungkus bukanlah dalam kategori ketagihan. Ia adalah pilihan yang ada dalam mendepani kenaikan harga bahan basah yang gagal dikawal kerajaan hari ini.
Barangkali orang yang ketagih bercakap politik ini terlupa kempen rakan sendiri dalam kementerian lain dengan menu rahmah. Menu rahmah yang diagung-agungkan dulu adalah nasi bungkus dengan ‘minimalis’ lauk. Menu yang menjimatkan perbelanjaan rakyat.
Dukacita saya atas kenyataan ketagih ini yang seolah langsung tidak bersama denyut nadi rakyat berdepan kenaikan harga barang. Setelah gagal berformula, agaknya mahu mencari ‘kambing hitam’ untuk disalahkan dan yang paling mudah adalah menyalahkan rakyat.
Inilah jenis ‘kacip halus’ yang tiada ubat melainkan perlu diheret keluar dan dijatuhkan melalui apa jua cara dan rakyat pastinya akan bersetuju dengan cadangan ini.
Salam hormat.
MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 19/9/2023