PH-BN tak ‘sporting’! Amal sikap politik mundur

PRK N.36 Pelangai – PH-BN tak sporting! Sikap dan amalan politik mundur 20 tahun. Sekat itu, sekat ini. Guna dewan tak boleh, guna padang tak boleh. Ini politik zaman bila?

Ini yang sedang berlaku kepada PAS atau PERIKATAN NASIONAL di Pelangai sekarang. Tidak dibenarkan menggunakan sebarang kemudahan awam. Ada yang sudah dapat kebenaran dan dibayar deposit. Dibatalkan tak semena-mena. Ada arahan katanya. Reformati!

Ingatkan bila dilaung-laung mengenai pembaharuan tadbir urus dan tata kelola, sikap dan pemikiran kerajaan akan lebih adil dan matang. Rupanya indah khabar dari rupa. Hanya manis di bibir.

Sudahlah peruntukan untuk wakil-wakil rakyat pembangkang dinafikan. Baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

Diejek ahli masyarakat yang tidak mendapat sumbangan bila dimohon kepada wakil-wakil rakyat tanpa peruntukan ini. Siapa suruh undi pembangkang, kata penyokong kerajaan.

Dipantau pula kata-kata dan ucapan. Diugut dengan laporan polis dan pendakwaan. YB ADUN Jengka, Ust Shahril Azman menjadi mangsa terbaharu.

Seingat saya amalan sekat-sekat ni gaya politik lama. Lebih 20 tahun dulu. Adakah selapuk itu pemikiran pentadbiran PH-BN?

Pertembungan politik gelanggangnya juga medan politik. Berlawan hujah, bersaing ideologi, cara dan pendekatan. Kata orang muda, gentle laa…

Bukankah perkara-perkara ketidakadilan ini yang menjadi inti perjuangan PKR-DAP dulu? Sekarang bila sudah jadi kerajaan, apa jadi dengan perjuangan itu? Lupa diri? Reformati? Kini mereka pula yang menjadi seperti Umno-BN dulu-dulu. Sekelip mata kau berubah…

Saya mahu berpesan, jangan angkuh dengan kuasa. Rakyat sudah matang. Mereka boleh menilai dan tidak takut atau ragu untuk menghukum mereka yang angkuh.

Belajarlah daripada kejatuhan kerajaan-kerajaan yang angkuh dari zaman ke zaman.

Di PRK Pelangai ini, PAS atau PERIKATAN NASIONAL tidak akan rugi atau hilang apa-apa jika kalah. Beban sebenarnya pada PH-BN. Kerana itu mereka bermati-matian, berhabis-habisan untuk menang. Buat apa sahaja, halalkan semua cara. Sekat dan tekan lawan. Janji menang.

Sahabat-sahabat pimpinan PAS atau PERIKATAN NASIONAL Pahang, sekalian ahli dan penyokong – insya-Allah kita usahakan segenap upaya. Kekal istiqamah dan sabar menghadapi ujian.

Kemenangan lebih manis bila dicapai dengan mendepani segala rintangan dan kekurangan. Bukan dengan hamparan permaidani dan kemewahan.

Semoga Allah kurniakan redhaNya pada perjuangan ini dan berikan kita kekuatan.

YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 19/9/2023

Advertisement