Ustaz Hoslan beri keterangan polis

Ustaz Hosnan Hussin hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada hari ini, 18 Sept 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Ustaz Hoslan Hussin selesai memberikan keterangan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi susulan arahan pihak polis agar 25 peserta yang mengambil bahagian dalam perhimpunan Selamatkan Malaysia pada 16 Sept lalu, hadir untuk disoal siasat.

Beliau berkata, semuanya berjalan lancar dengan layanan polis amat positif dan keberadaan mereka disambut baik.

- Advertisement -

“(Kami) mendapat respons yang positif dari pihak polis. Segala kenyataan saya pun mereka sangat raikan, dan salah seorang anggota mendoakan kebaikan sesama kami”

“Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar, kini hanya menunggu sahabat-sahabat lain (yang juga memberi keterangan) keluar dalam waktu terdekat,” katanya, di sini, hari ini, yang merupakan individu kedua yang dipanggil untuk memberi keterangan polis selepas Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Hoslan yang kini turut ditugaskan sebagai tenaga pengajar di Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di cawangan Titiwangsa turut berkongsi pengalaman realiti golongan penagih dan pengedar dadah di Malaysia ketika ini.

“Orang muda (penagih) sekarang jika kita lihat semakin besar kesannya (dadah) yang tak selesai-selesai, jadi saya salah seorang tenaga membaikpulih (mereka ini).

“Kita pun (kadang) tak mampu nak baik pulih (golongan yang terbabit dengan dadah), kita dah baik pulih tapi mereka yang mengedar pula yang semakin ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media setelah selesai memberi keterangan Polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini, hari ini, berhubung perhimpunan Selamatkan Malaysia Sabtu lalu itu yang didakwa tidak mendapat kelulusan polis.

Sementara itu, Hoslan turut menyifatkan ketidaktelusan adalah antara punca cabaran yang dihadapinya dalam menangani isu dadah ini.

“Kita akan teruskan kemaraan rakyat untuk kita bagitahu kepada kerajaan hari ini, banyak saluran dan ketidaktulusan pada hari ini.”

Menurutnya, apabila pengedar berleluasa, cabarannya untuk mendidik penagih di PEMADAM menjadi sukar.

“Bila saya tanya pelajar, mereka kata tak boleh nak masuk kelas sebab tengah “lalok”, Jadi itulah cabarannya, pagi datang kelas agama, petang dah ‘lalok’, esok terus tak masuk kelas. “

“Sepatutnya kita perlu tangkap mereka-mereka (golongan) yang kartel dadah ini, sebagaimana ucapan saya sebelum ini, saya tahu siapa mengelilingi mereka”

“Tapi hari ini pun kita tidak berupaya mengekang kemaraan pengedaran (dadah) yang dari dulu tidak selesai. Sedangkan pada tahun 2015 lagi polis mengisytiharkan jihad menentang dadah di negara ini, tetapi sehingga hari ini belum selesai.”

“Saya ingin beritahu kepada pihak berwajib, panggillah saya , insya-Allah saya akan datang dan beritahu kesalahan dan kealpaan kita (dalam menangani isu dadah) kerana negara kita, kitalah yang menjaganya,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023

- Advertisement -