TAWAU: Gelombang sokongan anak muda kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) perlu diperkasa bagi menjamin kelestarian sokongan mereka hingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, sebahagian kemenangan besar PAS/PN baru-baru ini adalah hasil sokongan besar anak muda.
“Ini menjadi cabaran bagi kita, maka pemuda dan muslimat PAS perlu memikirkan bagaimana PAS ini terus mendapat tempat di hati anak muda,” ujarnya sewaktu merasmikan majlis penutup Ijtimak Tarbawi Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, kelmarin.
Turut hadir ialah Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 dan Setiausaha PAS negeri, Sahar Majid dan Dr Aliakbar Gulasan.
Menurutnya, PAS khususnya pemuda mempunyai pelbagai segmen dan produk yang perlu dipasarkan kepada anak muda.
“Jabatan Amal antaranya yang perlu diaktifkan secara giat dan DACS juga yang mempunyai pelbagai kelab di dalamnya seperti ARC, ACC, APC dan sebagainya perlu dipasarkan kepada anak muda.
“Kita tidak mahu pemuda ada produk yang pelbagai yang mampu menarik anak muda tapi tidak diperkenalkan kepada mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.
Beliau mengingatkan bahawa antara kejayaan PAS juga apabila mampu menarik orang ramai yang tidak kenal kembali mengenali Islam. – HARAKAHDAILY 18/9/2023