Mangsa tembakan di Machang ada rekod jenayah 

Muhamad Zaki Harun
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang maut ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah bengkel di Jalan Hutan Kuin, Machang petang semalam disahkan mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa berusia 38 tahun itu merupakan seorang peniaga.

- Advertisement -

Menurutnya, siasatan awal di lokasi mendapati suspek merupakan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Honda putih sebelum melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah mangsa yang ketika itu berada dalam pikap.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan motif masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini,  hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil membantu untuk siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pemilik bengkel maut dipercayai ditembak dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang semalam di Kampung Hutan Kuin.

Mangsa ditemui berlumuran darah dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah kedai alat ganti kenderaan di kampung berkenaan. – HARAKAHDAILY 18/9/2023

- Advertisement -