‘Lebih kritikal daripada ancaman ICERD’

Kamaruzaman Mohamad dalam Sidang Meja Bulat Memperkasakan Syariah di Kuala Lumpur pada 16 Sept 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee).

KUALA LUMPUR: Isu cabaran petisyen untuk membatalkan 20 Enakmen Mahkamah Syariah Kelantan ketika ini adalah lebih kritikal berbanding kes ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) pada tahun 2018.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad  berkata demikian dalam menzahirkan kebimbangan berkenaan isu cabaran terhadap undang-undang syariah di Kelantan.

Ia adalah susulan kes seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid pada 22 Mei 2022 telah memfailkan permohonan untuk membatalkan 21 kesalahan jenayah Syariah Negeri Kelantan, antaranya termasuk liwat, persetubuhan dengan mayat dan bukan manusia, musnahkan tempat ibadat, judi, arak dan banyak lagi; yang mana hari keputusan Mahkamah Persekutuan tentang perbicaraan kes itu adalah pada 20 Nov kelak. 

Advertisement

“Hampir sejuta kita berhimpun di Dataran Merdeka Kuala Lumpur kerana ketika ICERD (2018) adalah ancaman kepada kedaulatan negara.

“Kalau dulu kita boleh bersuara, hari ini kita perlu lebih lagi bersuara berbanding dengan zaman ICERD dahulu,” tegas Kamaruzaman.

Beliau berkata demikian selaku pembentang pada sidang Meja Bulat Memperkasakan Syariah  di Institut Dakwah Islamiah PERKIM, Kuala Lumpur (IDIP-KL), di sini, hari ini.

Program anjuran bersama bersama beberapa persatuan badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH), Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) Wilayah Persekutuan, Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan dan Perkasa Malaysia itu menyaksikan kehadiran  lebih 30 NGO lain.

Program tersebut menampilkan  beberapa panel lain terdiri daripada Dr Suariza Muhammad dari PERKIM Wilayah Persekutuan, Prof Kamaruzamam Yusof (UMMAH), Datuk Muhamad Abdullah (Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan) serta beberapa wakil NGO-NGO Islam yang lain.

Menurut Kamaruzaman, kedudukan Mahkamah Syariah sekarang bukanlah di tahap sedang diperkasa, tetapi sedang berada di tahap yang perlu diselamatkan.

“Nak perkasa, adalah untuk perkara yang sudah elok tetapi mahu diperkemaskan. Hari ini, (apa yang berlaku adalah) perkara yang sudah sedia molek (elok) tetapi hendak dipunahkan,” hujahnya.

Beliau menegaskan lagi bahawa untuk melindungi agama memerlukan kuasa, dan senario Mahkamah Syariah pada hari ini berlaku kerana ‘kuasa’ telah memberi tekanan kepada Syariah. 

“Oleh itu, umat Islam memerlukan kuasa untuk mempertahankan Syariah. Imam Ghazali ada menyebut: ‘Agama adalah asas, siyasah (politik) adalah pelindung. Barang yang tidak ada asas akan runtuh, barang yang tidak ada pelindung akan hilang’,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023